18 Rejab 1433H. [MOD] -
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menghantar notis menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan terbuka berhubung ucapannya yang menyebut 'haram jadah' kepada peneroka, 8 Mei lalu.
Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata notis itu akan dihantar ke kediaman rasmi Najib di Putrajaya pada 15 Jun, selepas solat Jumaat.
"Peguam Anak telah meneliti beberapa kali ucapan Najib dan ternyata ia mengandungi kenyataan berniat jahat, jijik dan dan tidak sepatutnya.
"Kita akan serah notis dan kalau notis ini juga tidak dilayan, kita akan teruskan hasrat saman malu terhadap Najib," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.
Beliau juga memberitahu, Anak akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (Berhad), dijangka pada bulan ini.
Mazlan berkata, pihaknya akan menghimpunkan sekurang-kurangnya 20,000 orang di Kuala Lumpur terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan itu.
Katanya, perhimpunan itu merupakan kemuncak kepada usaha Anak selepas usaha dilakukan selepas segala pendekatan diplomasi mereka tidak diendahkan.
"Sebelum ini Anak sudah guna semua saluran undang-undang. Memorandum pernah dihantar kepada perdana menteri, kita pergi ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia, pergi ke Suruhanjaya Sekuriti, tapi mereka tidak mahu dengar pandangan kami," kata beliau.
Mazlan yang juga penyelaras Gerakan Selamat Felda (GSF) berkata, pihaknya mengisytihar perang terhadap Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Isa Samad, Ahmad Maslan dan pihak yang menyokong penyenaraian FGVH yang akan dimuktamadkan pada 28 Jun ini.
"Oleh kerana pandangan kita tidak diendah, Anak umumkan isytihar perang ke atas mereka dan akan akan adakan kempen radikal selama tiga minggu ini," katanya.
Mazlan juga yakin himpunan itu akan mendapat sambutan berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada pelbagai NGO dan orang perseorangan yang tidak berpuas hati dengan penyenaraian FGVH.
"Saya yakin Anak mampu himpunkan jumlah yang besar kerana sebelum ini ramai yang dah hubungi saya tanya samaada Anak merancang himpunan atau tidak dan saya rasa inilah masanya," katanya sambil manambah lokasi dan tarikh perhimpunan tersebut akan diumumkan minggu hadapan. -HD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan