08 Jun 2012

Firma Malaysia tewaskan Chelsea

18 Rejab 1433H. [MOD] -

GAMBAR menunjukkan bangunan Stesen Tenaga Battersea di tepi Sungai Thames di London pada 3 Jun lalu.- AFP

LONDON – Kelab bola sepak Chelsea di England gagal untuk membina stadium baharu di Stesen Tenaga Battersea di tepi Sungai Thames di sini, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Kegagalan itu disebabkan oleh kelab tersebut yang dimiliki bilionair terkenal dari Rusia, Roman Abramovich (gambar kecil) kalah dalam bidaan untuk memiliki stesen tersebut.

Beliau kalah kepada dua buah syarikat dari Malaysia, Sime Darby Property Bhd. dan SP Setia yang secara bersama berjaya dalam bidaan untuk memiliki stesen berkenaan.

Abramovich mahu memiliki stesen tersebut untuk dibangunkan semula bagi menjadi stadium baharu kelab bola sepak berkenaan.

Kelab bola sepak itu sebelum ini menimbang untuk mencari stadium baharu.

Stadium Chelsea, Stamford Bridge hanya boleh memuatkan kira-kira 42,000 penonton.

Kelab bola sepak Arsenal dan Manchester United memiliki stadium yang lebih besar daripada Chelsea ketika ini.

Menurut laporan agensi berita Bernama di Kuala Lumpur, syarikat-syarikat dari Malaysia itu menyatakan ia menandatangani perjanjian eksklusif semalam dengan pentadbir dan penerima bersama bagi pihak hartanah tersebut bagi memiliki tapak stesen berkenaan pada harga £400 juta (RM1.96 bilion).

Keluasan tapak itu ialah 15 hektar.

Menurut agensi berita Reuters, SP Setia dan Sime Darby akan membina sebuah stesen tren bawah tanah sebagai sebahagian daripada penambahan rangkaian pengangkutan awam di sini. – Agensi

Tiada ulasan: