18 Rejab 1433H. [MOD] -
MENJELANG tengah malam ini, kancah kejohanan Euro 2012 akan bermula dengan pasukan tuan rumah, Poland membuka tirai perlawanan menentang juara 2004, Greece di Stadium City, Wroclaw.
Selepas berakhir musim persaingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Euro kembali menerjah jutaan peminat bola sepak sama ada tempatan atau luar negara untuk menyaksikan pasukan mana yang akan dinobatkan juara untuk edisi kali ini.
Dalam perlawanan pembukaan tirai awal malam ini, turun selaku tuan rumah bersama Ukraine, Poland memasang impian untuk muncul juara di halaman sendiri dan berjanji untuk menampilkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.
Selain membuktikan kehebatannya selaku penganjur Euro 2012, Poland turut berazam untuk menghiburkan kira-kira 55,000 penyokong yang hadir di Stadium Nasional, Warsaw nanti.
Walau bagaimanapun, beraksi di halaman sendiri, Poland perlu berhati-hati kerana pasukan Greece bukan sebuah pasukan yang harus dipandang ringan.
Dengan memiliki rekod yang baik serta pernah membuat kejutan ketika menewaskan Portugal 2-1, dan melakar sejarah apabila dinobatkan juara 2004 tidak mustahil pasukan yang digelar Gala Nolefki itu mampu melakukan kejutan sekali lagi pada tahun ini.
Jadi, turun dengan memburu kemenangan pertama amat ditagih bagi anak kendalian Franciszek Smuda untuk mengelakkan berada dalam kedudukan tercorot di Kumpulan A.
"Kami sangat memerlukan keputusan yang positif pada perlawanan pertama kerana ia akan meletakkan kami di landasan yang tepat dan memberikan keyakinan yang tinggi untuk meneruskan persaingan kedua nanti.
"Apa pun, kami tidak akan memandang rendah terhadap kemampuan lawan kerana bagi saya mereka adalah sebuah pasukan yang hebat.
"Peluang untuk perlawanan esok (hari ini) antara kedua-dua pasukan dilihat seimbang. Oleh itu, saya menggesa pemain-pemain saya akan beraksi dengan cemerlang untuk membuktikan kita mampu bergelar juara," kata Smuda.
Impian Poland untuk melepasi saingan di peringkat kumpulan A yang diundi bersama Rusia, dan Republik Czech kini diletakkan sandaran kepada trio mereka, Robert Lewandowski, Jakub Blaszczykowski dan Lukasz Piszczek untuk melakar kemenangan nanti.
"kehebatan pemain-pemain ini amat ditagih oleh saya. Mereka harus membuktikan kemampuan sekali gus membantu kami memburu slot ke peringkat seterusnya," tambah Smuda.
Turun dengan misi membalas dendam ekoran kegagalan menjulang juara empat tahun lepas disamping menceriakan moral rakyat negara itu yang terjejas teruk apabila dilaporkan muflis dan berhadapan ketidakstabilan politik, juara 2004, Greece mahu memberikan persembahan terbaik pada perlawanan itu nanti.
"Kami akan melakukan yang terbaik esok (awal malam ini). Dengan keadaan negara yang tidak stabil, agak mengusarkan kami untuk mencipta kemenangan.
"Namun, diharapkan, kami dapat mengulangi kecemerlangan lapan tahun lepas pada kejohanan kali ini," kata Fernando Santos.
Lapan tahun lalu, pasukan yang digelar Galanolefki itu mengejutkan peminat bola sepak seluruh dunia apabila menjadi juara.
Ketika itu, Greece turut berdepan tuan rumah, Portugal dalam aksi pembukaan dan berjaya melakar kemenangan 2-1.
Sedikit terjejas berikutan negara itu berada dalam keadaan muflis selain berhadapan ketidakstabilan politik serta sosial, Santos berkata, Keadaan itu menimbulkan sedikit kebimbangan kepada mereka namun beliau tetap optimis anak buahnya mampu menghadapi situasi itu dengan tenang.
"Semua fokus kami hanya kepada perlawanan menentang Poland, tiada lain.
"Jika keajaiban 2004 boleh dilakukan, tiada yang mustahil untuk dilakukan hari ini.
"Kami menyedari mesej yang disampaikan oleh penyokong di tanah air, ia memberi motivasi kepada kami untuk berjuang," tegas Santos.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan