18 Rejab 1433H. [MOD] -
JOHOR BAHRU - Lima warga asing yang bekerja sebagai tukang urut di sebuah pusat urutan tradisional sekitar bandar raya ini ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan Ops 6P, kelmarin.
Serbuan sekitar jam 3.25 petang dan berakhir 4.15 petang itu disertai oleh 12 anggota dan pegawai yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Khairulanuar Abu Bakar.
Khairulanuar berkata, kelima-lima pekerja asing itu adalah warga Indonesia yang berumur antara 34 hingga 43 tahun dan ditahan kerana didakwa melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Hasil dari maklumat aduan awam, kami melakukan serbuan dan menahan lima tukang urut warga Indonesia. Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika operasi dilakukan.
“Ketika kami hadir, kesemua pekerja asing sedang mengurut pelanggan. Hasil dari kenyataan mereka, kami diberitahu segala urusan pasport dan permit diuruskan oleh majikan.
“Bagaimanapun, majikan gagal mengemukakan pasport dan dokumen perjalanan lima pekerja ini selain mendakwa berurusan dengan ejen menerusi pembayaran antara RM500 hingga RM1,000 bagi urusan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Menurutnya, seorang daripada pekerja asing itu ditahan di bawah Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, manakala selebihnya Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Khairulanuar berkata, majikan kesemua tukang urut terbabit yang merupakan warga tempatan berusia 51 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 berikutan mengajikan pekerja asing tanpa dokumen sah.
Selain itu, katanya, operasi berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang dan semua majikan dinasihatkan supaya tidak membenarkan imigran larangan bekerja di premis masing- masing atau terpaksa berdepan tindakan undang-undang.
“Majikan boleh berurusan terus ke pejabat Imigresen bagi mengelak dari ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga boleh menimbulkan masalah kepada mereka,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan