14 Syaaban 1433H. [MOD] -
MENGHAMPIRI gelaran juara Liga Perdana musim ini, skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal melayakkan diri buat kali pertama ke Liga Super, sekali gus melakar sejarah dalam Liga Malaysia.
Berazam menamatkan penantian 23 tahun ATM ke Liga Super, pengendali B Sathianathan mahu anak buahnya mengekalkan rentak kemenangan pada pertemuan menentang MP Muar, Jumaat ini untuk mengejar tiga mata yang memisahkan ATM daripada trofi domestik pertama mereka sejak 1997.
"Kami hanya memerlukan satu kemenangan saja untuk layak secara automatik ke Liga Super musim depan.
Saya yakin kami mampu meraih tiga mata di tempat sendiri Jumaat ini.
"Tetapi dalam masa sama, saya enggan pemain terlalu yakin kerana dalam bola sepak, apa-apa mungkin berlaku dan kita juga hanya mencatat keputusan seri dengan lawan sama ketika pusingan pertama lalu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, meskipun gembira dengan kejayaan menewaskan USM di Stadium Olahraga USM, kelmarin, Sathia masih belum berpuas hati dengan prestasi dipamerkan skuad kendaliannya.
Mengingatkan pasukannya bahawa tugas mereka masih belum selesai, Sathia menuntut komitmen penuh dalam memperbaiki kelemahan terutama di posisi pertahanan dan juga mencari penyudah.
"Segala kelemahan perlu dibaiki segera kerana kami bukan hanya gelaran juara. Jika bernasib baik kami mungkin mampu melakar kejutan dalam saingan Piala Malaysia," katanya yang memuji aksi supersub ATM, Venice Elphi Danny Kaya yang berjaya membawa impak dalam skuad ATM.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan