14 Syaaban 1433H. [MOD] -
SHAH ALAM – Seorang pekerja ladang memberitahu Mahkamah Tinggi semalam, bahawa tiada jeritan wanita mahupun api besar di Ladang Gadong Banting pada malam 30 Ogos 2010, malam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lain didakwa mati dibunuh.
T Thilaiyalagan, 21, tertuduh kedua kes pembunuhan itu berkata, menjadi rutin hariannya untuk membakar rumput kering dalam tong supaya dapat menghalau nyamuk daripada menggigit ternakan.
“Kalau kepala anak ayam Belanda digigit nyamuk, ia akan bengkak dan anak ayam akan mati,” katanya semasa pemeriksaan utama peguam, Gurbachan Singh.
Thilaiyalagan, 21, saksi pembelaan kedua selepas majikannya, N Pathmanabhan beri keterangan sebelum ini.
Dia didakwa bersama majikannya itu dan tiga rakan lain, R Matan, 22, dan RKathavarayan, 32, membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit
kesalahan.
Thilaiyalagan berkata, pada malam itu, dia, U Suresh, K Sarawanan, Khatavarayan dan Matan berkumpul di ladang untuk sambut hari merdeka.
Suresh adalah saksi pendakwa ke-29 yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun bersama Sarawanan, selepas mengaku bersalah membakar dan membuang abu Sosilawati dan tiga yang lain ke Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting.
Menurut Thilaiyalagan, selain makan dan minum arak, mereka turut memasang bendera Malaysia dan Selangor selepas jam 12 malam.
Kepada soalan lain, Thilaiyalagan berkata, dia tidak pernah memaklumkan atau mengaku apa-apa berkenaan barang kes dan lokasi yang didakwa pembunuhan itu.
Ketika disoal mengenai zink dibawa ke mahkamah untuk pengecaman, Thilaiyalagan menafikan zink itu seperti terdapat di ladang tempatnya bekerja.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung hari ini.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan