14 Syaaban 1433H. [MOD] -
NAMA penyerang Sabah, Rozaimi Abdul Rahman kini meniti di bibir peminat tempatan selepas mencipta kejutan mengetuai senarai penjaring terbanyak kejohanan kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun di Yangon, Myanmar.
Ledakan sembilan gol dihasilkan pemain berasal Bongawan, Sabah setakat ini cukup melegakan kem negara sekali gus membuktikan kita tidak kekurangan bakat pelapis muda.
Selepas kemunculan Nazmi Faiz Mansor, Ahmad Hazwan Bakri, Wan Zack Haikal dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (sekadar menyebut beberapa nama), Rozaimi mampu menjadi bintang bola sepak negara pada masa depan.
Malah, tidak keterlaluan mengatakan dia sebenarnya mampu memikat pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal untuk disenaraikan menjelang kempen Piala AFF Suzuki, penghujung tahun ini jika mampu mengekalkan momentum permainannya.
Sebenarnya, penyerang berusia 20 tahun ini bukanlah asing dalam saingan liga tempatan. Dia pernah bermain untuk pasukan Sarawak pada 2010 sebelum mengambil keputusan menabur bakti negeri kelahirannya, Sabah pada tahun lepas.
Kelincahannya bersama skuad Sabahawks menambat perhatian jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee untuk disenaraikan dalam perlawanan antarabangsa menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea pada Julai tahun lalu.
Semenjak dari itu, Rozaimi berusaha gigih dan sentiasa mencari peluang menyarung kembali jersi negara.
Bagaikan sudah menjadi rezeki untuk bermain dengan pasukan Malaysia, namanya berada dalam senarai untuk dibawa Kim Swee ke Myanmar.
Sebelum itu, Rozaimi sempat menyumbang satu gol ketika Harimau Muda menang 4-0 mengatasi Qatar Bawah 22 Tahun dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Jun lalu yang merupakan jaringan pertamanya di pentas antarabangsa.
Dua kali mencipta hatrik ketika menumpaskan Filipina (7-0) dan Vietnam (3-0) meletakkannya antara penggempur baru yang digeruni saat ini.
Malah, Kim Swee turut mengesahkan Rozaimi bakal mengikut jejak Nazmi, Wan Zaharulnizam dan Wan Zack Haikal untuk menjalani ujian pemilihan bersama kelab luar negara.
Jika gagal bermain di pentas luar sekali pun, saham Rozaimi tetap 'laku' kerana barangkali tetap diintai pasukan gergasi tempatan lain selepas ini.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan