04 Julai 2012

Geng pecah kilang tumpas

14 Syaaban 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Polis menahan tiga lelaki dan seorang warga asing berusia lingkungan 25 hingga 44 tahun berhubung kes pecah masuk sebuah kilang di Pasir Gudang, 4 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ismail Yatim berkata, penahanan kesemua suspek membawa kepada penemuan semula barang-barang curi selepas polis mengadakan beberapa siri serbuan di Taman Johor Jaya, di sini, dan Negeri Sembilan.

“Polis menerima satu laporan awal sebuah kilang di Pasir gudang telah dipecah masuk sekitar jam 8.17 pagi. Susulan itu, polis membuat beberapa siri serbuan dan tangkapan di Taman Johor Jaya dan Negeri Sembilan, seterusnya menahan empat lelaki terdiri tiga warga tempatan dan seorang warga asing.

“Polis juga berjaya merampas semula dua klac lori; satu ‘air bellows’; satu ‘air dryer’; satu ‘mounting’; empat komponen besi; lima batang besi silinder; lapan keping brek ‘lining’; dua set ‘bearing’; satu besi ‘piston’; satu kotak ‘coolant filter’ dan lima gelung getah hitam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Menurutnya, salah seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai 13 rekod jenayah iaitu lima rekod ‘dikehendaki’; tiga di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan; dua di bawah kesalahan samun; lapan di bawah Akta Dadah Berbahaya; satu kes di bawah Akta Senjata Berbahaya; satu di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan dan satu di bawah Akta Pengangkutan Jalan. Ismail berkata, kesemua suspek ditahan reman sehingga 29 Jun lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun berserta denda jika sabit kesalahan.

“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah kilang di Seri Alam,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: