14 Syaaban 1433H. [MOD] -
MALAYSIA gagal melayakkan diri secara automatik ke pusingan akhir Piala AFC Bawah 22 Tahun (B-22) tahun depan selepas tumpas 1-2 kepada Myanmar pada perlawanan terakhir pusingan kelayakan Kumpulan G di Stadium Thuwunna, Yangoon semalam.
Keputusan itu meletakkan Malaysia sekadar pada kedudukan ketiga dengan sembilan mata manakala Myanmar di tempat kedua dengan 13 mata.
Terdahulu, Korea Selatan yang mengalahkan Vietnam 2-0 di Stadium Aung San dalam satu lagi perlawanan hari ini, menjuarai kumpulan tersebut dengan pungutan mata yang sama dengan Myanmar.
Korea Selatan dan Myanmar layak secara automatik ke pusingan akhir kejohanan itu.
Walaupun sukar, Malaysia tetap mempunyai peluang beraksi pada kejohanan itu tahun depan kerana satu slot akan diberikan kepada pasukan yang muncul pasukan ketiga terbaik peringkat pusingan kelayakan.
Sebanyak 16 pasukan yang merangkumi dua pasukan terbaik daripada tujuh kumpulan akan layak ke pusingan akhir tahun depan bersama tuan rumah dan satu lagi pasukan yang muncul pasukan ketiga terbaik peringkat kelayakan.
Pada perlawanan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen berbayar di sini hari ini, skuad Myanmar memulakan serangan bertali arus ke kubu skuad negara namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan negara.
Namun kealpaan barisan pertahanan negara membawa padah apabila Kaung Si Thu membuka tirai jaringan Myanmar pada minit ke-34.
Si Thu menambah derita skuad Ong Kim Swee pada minit ke-52 apabila mudah menolak masuk bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol skuad negara, Mohd Izham Tarmizi Roslan.
Rozaimi Abdul Rahman berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-90 sebelum pengadil perlawanan, Ali Sabbagh dari Lubnan meniupkan wisel penamat.
Di MELAKA, Iran dan Kuwait masing-masing muncul juara dan naib juara Kumpulan C selepas berakhir perlawanan kumpulan itu malam ini.
Iran memunggut 13 mata manakala Kuwait 12 mata.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat malam ini, Iran seri 1-1 dengan Bahrain sementara Tajikistan menumpaskan Qatar 4-2.
Manakala, pada perlawanan di Stadium Hang Tuah, Kuwait membelasah Maldives 8-0.
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih belum memutuskan tuan rumah pusingan akhir kejohanan tersebut tahun depan. - Bernama
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan