14 Syaaban 1433H. [MOD] -
GEORGETOWN - Mayat seorang lelaki warga India ditemui rentung dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Lebuh King lewat petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba Lebuh Pantai, Ismail Md Zin berkata, mangsa dikenali sebagai Arokkiaraj, 34, berasal dari Tamil Nadu, dipercayai maut akibat dihempap siling salah sebuah bilik rumah kedai dua tingkat ketika kejadian.
“Kami terima panggilan mengatakan ada kebakaran di sebuah rumah kedai kira-kira jam 6 petang.
Difahamkan ada seorang mangsa masih terperangkap dalam rumah berkenaan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba yang bertugas menjalankan operasi memadam api sebelum masuk menyelamatkan mangsa. Sebaik tiba di tingkat dua, kita dapati mangsa sudah meninggal dunia akibat dihempap siling,” katanya di tempat kejadian kelmarin.
Menurutnya, mangsa difahamkan bekerja sebagai seorang penjahit pakaian tradisional India di kawasan berdekatan.
“Mayat lelaki malang itu ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan melecur hampir 80 peratus.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang tidur di dalam salah satu bilik yang diubahsuai.
“Siasatan awal mendapati, mangsa tidak menyedari kebakaran itu sekali gus terperangkap, kerana sedang nyenyak tidur,” katanya.
Beliau berkata, struktur rumah kedai yang diperbuat daripada papan juga menjadi salah satu faktor menyebabkan api merebak begitu pantas.
Bagaimanapun, bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit dan siasatan awal mendapati api bermula dari bahagian tengah rumah kedai itu yang menempatkan bilik mangsa.
Ismail berkata, mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan