14 Syaaban 1433H. [MOD] -
BACHOK – Ketiadaan sumber tanah liat berkualiti untuk pembuatan batu bata, menyebabkan ramai kontraktor pembinaan kini bertukar kepada penggunaan bata ‘press’.
Di Bachok, keadaan yang sama berlaku apabila kos pembuatan bata tanah liat juga semakin meningkat, dan memaksa pengusaha mencari alternatif lain untuk pembinaan.
Bagi seorang pengusaha bata press, Mustaffa Sidik, 49, berkata, bata tanah liat perlu menggunakan tanah sawah yang semakin sukar diperoleh menyebabkan dia mula menceburkan diri dengan pembuatan bata 'press'
“Tanah liat dari sawah semakin sukar diperoleh dan kosnya juga tinggi. Harga sebiji bata tanah liat ialah 40 sen, sedangkan harga bata 'press' cuma 23 sen (termasuk kos penghantaran).
“Sebab itulah, sejak 2008 saya mulakan perniagaan ini untuk memberi pilihan dan kos lebih murah kepada orang ramai membina bangunan dan kediaman,” katanya kepada Sinar Harian.
Mustaffa berkata, sejak membuka perusahaan di kawasan Beris Lalang, ia juga memberi peluang kerja kepada penduduk tempatan apabila seramai 28 anak tempatan diupah sebagai pekerjanya.
Menurutnya, semua kerja di kilang batanya mengikut piawaian yang mempunyai sijil pengiktirafan dari Kumpulan Ikram Sdn Bhd.
“Semua bata kami mengikut piawaian dan dipantau menggunakan sistem berkomputer.
“Bahan mentah kami juga mengikut kualiti ditetapkan dengan 30 peratus bahan campuran adalah ‘kuari dust’ yang diperoleh dari kuari Gunong dan Pasir Puteh.
“Sebab itu, kami sering mendapat kepercayaan untuk menghantar bekalan bata ke projek perumahan dan bangunan agensi kerajaan dan swasta,” katanya yang juga ahli Dewan Perniagaan Melayu Islam Kelantan.
Mustaffa berkata, kilangnya mempunyai stok sehingga dua juta bata 'press'' pada satu-satu masa untuk memudahkan permintaan dihantar kepada pelanggan bila-bila masa.
Katanya, setiap bata 'press' yang diproses perlu dijemur di bawah terik matahari sekurang-kurangnya selama satu jam.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan