14 Syaaban 1433H. [MOD] -
KEBANGKITAN skuad sepak takraw negara memberi tentangan sengit dalam Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) nyata mengejutkan tuan rumah yang juga seteru utama, Thailand baru-baru ini.
Bukan mahu mendabik dada, jurulatih Jamaluddin Hassan berkata, jurang mata yang tipis menimbulkan kerisauan kalangan pemain pasukan Gajah Putih itu yang melihat pasukan negara kini mampu bermain lebih baik daripada sebelum ini.
"Meskipun tewas di final, namun pemain tetap menunjukkan peningkatan dalam permainan sekali gus mengubat kekecewaan tewas di separuh akhir Istaf Singapura Mei lalu.
"Kelemahan kita kerana gagal kawal servis bola dengan baik dan sekiranya dapat diatasi, tidak mustahil kemenangan kelak mampu menjadi milik negara," katanya yang berharap pemain mampu mempelbagaikan servis.
Untuk rekod, Malaysia tewas kepada Thailand 8-15, 11-15 dan 10-15 dalam perlawanan akhir Istaf yang berlangsung di Bangkok, Ahad lalu. Yakin dengan kemampuan anak didiknya, beliau tekad memperbaiki segala kelemahan yang berlaku supaya lebih konsisten dalam saingan akan datang.
"Saya berharap pemain kekalkan momentum terutama daripada segi servis kerana apabila kita mampu mengawal perlawanan akan menjadi lebih mudah," katanya yang berharap kekalahan di Istaf baru-baru ini mampu ditebus dalam Piala Raja Thai yang sedang berlangsung mulai 2 hingga 8 Julai ini.
Menurunkan tujuh pemain baru termasuk Mohammed Zukifli Abd Razak, Jamaluddin menyifatkan perlawanan kali ini sebagai pendedahan kepada mereka mengenai corak dan permainan di peringkat lebih tinggi.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan