14 Syaaban 1433H. [MOD] -
JASIN - Kegiatan jenayah empat remaja lelaki berusia 14 hingga 16 tahun, yang memiliki ilmu dan kemahiran memecah masuk rumah dan kedai akhirnya tumpas.
Mereka berjaya ditangkap selepas 24 jam laporan dibuat seorang pelajar Politeknik Merlimau dan seorang pemilik premis menjual serta membaiki telefon bimbit di Balai Polis Merlimau, Khamis lalu.
Pemangku Ketua Polis Jasin, Deputi Superintendan Shahidi Abdullah berkata, kegiatan itu dipercayai didalangi remaja berusia 14 tahun, digelar Azizi Botak. “Polis menerima laporan kirakira jam 12 tengah hari pada 28 Jun lalu mengenai kes pecah rumah di Batu 15, Jalan Jasin-Merlimau dan kehilangan sebuah motosikal yang disimpan di dalam rumah tersebut, selain sebuah komputer riba, semuanya bernilai RM3,500.
“Tiga jam kemudian, seorang lagi pengadu buat laporan kehilangan tiga telefon bimbit milik pelanggan dan 23 bateri telefon bimbit pelbagai jenama selepas premisnya di Bandar Baru Merlimau dipecah masuk,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, semalam.
Shahidi berkata, semua barangan milik mangsa berjaya dirampas semula selepas keempat- empat suspek ditangkap di kediaman masing-masing di Merlimau keesokan harinya. “Susulan tangkapan, kami turut merampas empat basikal yang dicuri dan siasatan awal mendapati, mereka melakukan pecah rumah atau kedai melalui tingkap nako dan bumbung,” katanya.
Menurutnya, pihaknya percaya suspek turut terlibat dalam siri pecah rumah di daerah ini termasuk tiga lagi kes pecah rumah di Merlimau yang pernah dilaporkan sebelum ini.
“Keempat-empat mereka kini ditahan reman sehingga esok (hari ini) dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dan 379 A kanun sama kerana mencuri,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan