14 Syaaban 1433H. [MOD] -
REMBAU – Seorang kakak dari Kampung Tanjong Sena, di sini tidak dapat menyembunyikan kebimbangannya apabila memikirkan keadaan adik bongsunya, Rohani Adam, 66, yang dikhuatiri hilang sejak petang kelmarin.
Hawa, 82, berkata, sejak semalam, dia bersama anaknya, Yaakob Alias, 63, dan beberapa penduduk sudah mencari adiknya di sekitar kawasan kampung.
Menurutnya, sebelum ini, adiknya yang mengalami gangguan mental sejak dua tahun lalu itu akan pulang ke rumah selepas keluar berjalan di kawasan Pekan Rembau dan kampung berdekatan.
“Tak pernah Rohani tidak pulang ke rumah...kalau tiada di rumah pun anak saya akan mencarinya di Pekan Rembau ataupun kawasan berhampiran dan menyuruhnya pulang.
Malah, adik juga akan pulang ke rumah selewat-lewatnya jam 7 petang. “Oleh itu, diharap orang ramai ataupun sesiapa sahaja yang ada melihat adik saya dapat memberikan maklumat kepada kami mahupun pihak polis di balai terdekat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjong Sena, dekat sini, semalam.
Sementara itu, Yaakob berkata, maklumat terakhir yang diperoleh mengenai ibu saudaranya adalah daripada penjual petai yang ternampak dia berjalan di Chembong Halt kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah kilang di Chembong, sejurus mengetahui ibu saudaranya tidak pulang ke rumah, dia terus mencari ibu saudaranya selepas tamat waktu kerja pada jam 8 malam hingga 11 malam.
"Sejak dua tahun lalu, inilah rutin harian saya bila ibu saudara yang sering keluar dengan berjalan kaki tanpa memakai selipar tidak pulang ke rumah.
"Bagaimanapun sebelum ini, ibu saudara saya akan pulang ke rumah walaupun lewat tidak seperti kali ini," katanya.
Berikutan kejadian itu, Yaakob membuat laporan di Balai Polis Rembau kira-kira jam 9 pagi, semalam.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan