14 Syaaban 1433H. [MOD] -
PENDANG - Kira-kira 300 penduduk dan 10 agensi kerajaan berhadapan kesukaran menjalankan tugas apabila kabel talian Telekom Malaysia (TM) di Jalan Sungai Tiang Pendang hadapan kediaman rasmi Pegawai Daerah di sini dicuri sejak awal pagi kelmarin.
Kejadian menyebabkan penduduk Kampung Belakang Pendang, Banggol Petai, depan Sekolah Kebangsaan Pendang dan kampung berhampiran terputus hubungan untuk berkomunikasi dengan pihak luar.
Sinar Harian turut difahamkan, kejadian juga menyebabkan 10 agensi kerajaan kawasan terbabit seperti Jabatan Penerangan, Pos Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Lembaga Kemajuan Kedah (Keda), Jabatan
Pertanian, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian dan pejabat agama terjejas.
Peniaga, Wan Salleh Ismail, 56, berkata, dia menyedari talian kabel tersebut dicuri ketika datang membuka premis perniagaan dekat kawasan itu dimana dia mendapati kabel itu berada dalam keadaan terjuntai.
Menurutnya, kabel terbabit dicuri walaupun kira-kira 500 meter dari lokasi itu dikelilingi lampu jalan dan berdekatan dengan laluan utama.
“Ketika jam 12 malam saya masih di kedai, namun tidak kelihatan perkara mencurigakan. Mungkin kecurian ini dilakukan ketika penduduk leka menonton perlawanan bola sepak awal pagi itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi JPAM daerah Pendang, Mohd Izuddin Inus Meah berkata, kejadian itu merupakan kali pertama berlaku hingga menyebabkan talian kecemasan di jabatan pihaknya gagal beroperasi.
“Kecurian ini menjejaskan JPAM menjalankan tugas terutamanya berkaitan hal kecemasan hingga penduduk terpaksa datang mengadu di pejabat seperti kes pokok tumbang, sakit, kemalangan dan banyak lagi.
“Ramai mengadu di pejabat mengatakan JPAM gagal menjawab panggilan telefon sedangkan mereka tak tahu talian itu gagal beroperasi disebabkan kecurian itu,” katanya.
Penduduk, Rokiah Ariffin, 47, dari Kampung Belakang Pendang berkata, kejadian itu menyebabkan penduduk gagal melayari Internet dan menjejaskan urusan dengan pihak luar.
Menurutnya, dia menyedari talian itu tidak berfungsi ketika ingin membuat panggilan, namun menyangka telefonnya rosak memandangkan kejadian itu tidak pernah berlaku.
Seorang lagi penduduk, Sharmi Zainol, 30, berkata, kecurian itu turut menyebabkan perniagaan secara talian yang diusahakannya terjejas.
“Kira-kira jam 2 pagi talian Internet masih boleh guna, tapi sekitar jam 7 pagi, baru sedar talian itu gagal digunakan hingga saya terpaksa keluar mencari restoran atau tempat yang menyediakan perkhidmatan (jalur lebar tanpa wayar) WiFi,” katanya.
Sehingga lewat petang semalam, sistem talian berkenaan masih terganggu. Sinar Harian akan cuba mendapatkan ulasan pihak TM Daerah Kota Setar dalam masa terdekat.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan