14 Syaaban 1433H. [MOD] -
KLANG - Anggota Bomba dan Penyelamat Balai Andalas mengambil masa 10 minit mengeluarkan cincin dari jari seorang pemuda yang melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika tidur di kediamannya, di sini, kelmarin.
Pegawai bomba, Rosdi Hainan yang mengetuai operasi berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat kemanusiaan potong cincin daripada kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang jam 9.24 pagi.
Menurutnya, tiga anggota dikejarkan ke HTAR bagi mengeluarkan cincin yang dikatakan masih melekat pada jari manis tangan sebelah kiri mangsa.
“Sebaik tiba di sana lapan minit kemudian, kita dapati mangsa, Mohd Hafiz Ibrahim, 27, yang sedang berbaring melecur pada bahagian tangan dan jari akibat terkena kejutan elektrik semasa tidur di rumahnya.
“Akibat kesan lecur itu, cincin yang dipakai tidak dapat dikeluarkan menyebabkan kakitangan hospital sukar memberikan rawatan lanjut pada bahagian jari mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.
Berikutan itu, menurutnya, anggota bomba berusaha mengeluarkan cincin berkenaan, “Kami menggunakan peralatan khusus untuk mengeluarkan cincin.
Bagaimanapun kesukaran mengeluarkan cincin itu menyebabkan kami mengambil langkah dengan memotong bahagian cincin.
“Sekitar jam 10.12 pagi, cincin yang bermata kuning itu berjaya dikeluarkan dari jari mangsa sekali gus memudahkan kakitangan hospital memberi rawatan lanjut pada bahagian yang melecur,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan