14 Syaaban 1433H. [MOD] -
BALAI BESAR –Tindakan seorang kaki dadah melilau tanpa haluan di sebatang jalan raya dalam keadaan mencurigakan membawa padah apabila dia dicekup anggota polis dekat di sini, pagi semalam.
Suspek terbabit, 33, ketika ditahan dikatakan sedang menunggang basikal dengan membawa pelbagai peralatan dipercayai barang lusuh sebelum terserempak tiga anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ), Balai Polis Dungun yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah.
Suspek dikatakan cuba melarikan diri namun gagal apabila menyedari kehadiran tiga anggota polis berpakaian preman itu.
Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui segulung kabel, wayar tembaga serta pelbagai barangan terbuang, dipercayai hasil barang curi.
Pemeriksaan lanjut ke atas suspek juga turut menemui beberapa jarum suntikan dipercayai digunakan untuk mengambil dadah selain alat pemotong wayar dan pemutar skru.
Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut.
Hasil semakan rekod polis, suspek yang berasal dari Sungai Udang itu turut mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
Sementara itu, suspek berkenaan yang tidak bekerja ketika ditemui mengaku sering mencari barang lusuh di rumah penduduk sekitar sebelum dijual di kedai barangan lusuh dekat Balai Besar.
Katanya, dia memperoleh pendapatan antara RM30 hingga RM50 sehari setiap kali menjual barangan berkenaan dan duit itu akan digunakan untuk perbelanjaan harian selain turut membeli dadah jenis ‘song’ di sebuah klinik berdekatan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut dan suspek kini sedang disiasat polis.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan