08 April 2013

Hadi: 'Kempen fitnah Anwar hanya aibkan diri'

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Abdul Hadi Awang

Hadi menyampaikan hujah pada program Bicara Minda dan Sesi Dialog. Program dikendalikan oleh Tan Sri Abdullah Ahmad.
SHAH ALAM - Cubaan segelintir pihak menabur fitnah ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang semakin hebat menjelang pilihan raya umum, dibidas sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

Menjawab pertanyaan peserta Bicara Minda dan Sesi Dialog anjuran Sinar Harian hari ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha membangunkan negara dan kebajikan rakyat.

"Tidak elok menjadikan kempen ini gelanggang fitnah. Untuk tegakkan kebaikan rakyat, masa depan negara, itu penting. Sangat penting," tegas Hadi.

Bahkan menurut pemimpin utama Pas itu, budaya politik fitnah dalam siri kempen umpama meminggirkan dasar-dasar ekonomi dan pembangunan yang sepatutnya diutamakan.

"Yang fitnah ini hanya memalukan diri," ujar Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Anwar yang juga ketua pembangkang menerima pelbagai tekanan dan dakwaan skandal seks yang dipaparkan menerusi blog pro Umno, Papa Gomo.

Dalam perkembangan terbaru, Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, telah memutuskan untuk bertanding sebagai calon Bebas menentang Anwar di Permatang Pauh.

Difahamkan, Papa Gomo merancang untuk mendedahkan kesemua salah laku Anwar dalam siri kempen beliau seterusnya menamatkan karier politik Anwar.

Sinar/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kempen fitnah keatas ketua pembangkang adalah direstui oleh BN dan PM......