27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
MEWAKILI PKR, saya mengalu-alukan pelancaran manifesto Barisan Nasional yang dibuat semalam (kelmarin) sebelum berlangsungnya penamaan calon.
Sebagaimana umum sedia maklum, Pakatan Rakyat telah mendahului Barisan Nasional dengan melancarkan manifesto bagi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) pada 25 Februari 2013, sekali gus merintis jalan ke arah landskap persaingan politik yang sihat.
Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional yang nampaknya banyak bersetuju dengan langkah dan cadangan Pakatan Rakyat mutakhir ini, sehinggakan tema manifesto Barisan Nasional (“Membawa Harapan”) pun menyadur tema Pakatan Harapan Rakyat yang digunakan oleh Pakatan Rakyat.
Pun begitu, saya yakin bahawa persaingan politik khususnya semasa kempen pilihan raya perlulah berkisar kepada persoalan dasar dan program untuk rakyat, selain kredibiliti dan rekod calon yang ditampilkan.
Seperti mana yang ditekankan oleh Pakatan Rakyat selama ini, persaingan idea dan dasar harus diangkat ke tahap yang lebih tinggi melalui perdebatan terbuka yang boleh disaksikan umum di media arus perdana untuk diadili sepenuhnya oleh segenap lapisan masyarakat.
Justeru, keengganan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat secara terbuka mengenai dasar mencacatkan imej beliau sebagai pemimpin berwibawa dan merencatkan budaya persaingan politik sihat yang dituntut oleh rakyat.
Lebih-lebih lagi apabila Barisan Nasional tidak mempedulikan langsung etika kerajaan sementara dengan menyalahgunakan ruang masa penyiaran di platform media awam untuk membentangkan manifestonya sedangkan Pakatan Rakyat telah dinafikan hak yang sama. Ini jelas merupakan suatu amalan pilihan raya berat sebelah dan penyalahgunaan harta benda awam oleh sebuah kerajaan sementara.
Walau bagaimanapun, saya nekad untuk memastikan PRU13 ini menjadi medan persaingan idea dan dasar dalam kerangka membentuk persaingan politik sihat. Saya telah meneliti manifesto Barisan Nasional dan akan membentangkan pandangan PKR dari semasa ke semasa.
Saya juga telah mengarahkan pasukan dasar PKR untuk mengkajinya secara menyeluruh dengan tujuan memberi maklum balas segera pada hari Isnin, 8 April 2013 (hari ini).
Secara umumnya, saya tidak yakin manifesto Barisan Nasional secara menyeluruh dapat membebaskan negara dan rakyat dari kesempitan ekonomi, politik dan sosial sedia ada yang begitu mencengkam dan menghimpit.
Yang paling ketara adalah manifesto Barisan Nasional tidak mempunyai roh reformasi yang amat diperlukan untuk merubah sistem yang bobrok dan penuh kepincangan, seperti yang diharapkan oleh rakyat.
Sangat jelas bahawa reformasi menyeluruh dan holistik dari segi sosio-ekonomi, struktur, institusi, politik, urus tadbir dan perundangan tiada tempat dalam kerangka polisi Barisan Nasional. Ingin saya tegaskan bahawa tanpa sebarang agenda reformasi yang komprehensif, usaha meningkatkan keberdayasaingan jangka panjang Malaysia di peringkat antarabangsa supaya setanding dengan negara-negara maju lain akan terus dikekang.
Pada masa yang sama, manifesto Barisan Nasional ketandusan idea baru dan kontang perinciannya yang mana banyak program telah dipakej semula, berbanding gagasan segar yang dibawa oleh manifesto Pakatan Rakyat. Lebih 90 peratus dari program-program yang disenaraikan sudah pun diketahui rakyat dan berbentuk terlalu umum tanpa sebarang perincian khusus.
Ketandusan idea baharu bermakna Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya terpaksa menelan hempedu dan menciplak beberapa dasar utama Pakatan Rakyat untuk disuntik ke dalam manifesto Barisan Nasional terutamanya cadangan penurunan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat dengan merombak Dasar Automotif Nasional, pemberian permit teksi individu secara langsung kepada pemandu teksi dan penyeragaman harga barangan keperluan di seluruh negara yang menjadi salah satu isu utama di Sabah dan Sarawak.
Berpegang teguh kepada prinsip percukaian adil seperti yang disarankan oleh Pakatan Rakyat, maka saya yakin harapan rakyat mahukan penghapusan langsung duti eksais kereta, bukannya dipotong pada kadar 30 peratus sahaja seperti yang dijanjikan di dalam manifesto Barisan Nasional.
Manifesto Barisan Nasional masih mencerminkan mentaliti lapuk dan kepercayaan usang Barisan Nasional bahawa hati dan pemikiran rakyat boleh dibeli. Tunjang kempen Barisan Nasional jika diteliti inisiatif sedia ada dan pakej tawaran manifestonya jelas berpaksi kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mahu ditingkatkan bayaran tahunnya kepada RM1,200 bagi keluarga dan RM600 bagi individu bujang.
Cadangan ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM7.2 bilion setiap tahun yang saya yakin akan terus meningkat saban tahun sejajar dengan pertumbuhan semulajadi populasi dan kegagalan berterusan Barisan Nasional meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah. melebihi paras kelayakan sebanyak RM3,000 bagi keluarga dan RM2,000 bagi individu bujang.
"Direct transfer payments" seperti BR1M, Baucar Buku 1Malaysia dan Bantuan Persekolahan yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional jelas merupakan langkah dasar ekonomi jangka pendek untuk meraih undi tanpa cadangan ampuh untuk menyelesaikan permasalahan sosioekonomi asas rakyat untuk jangka masa panjang seperti monopoli yang menyebabkan herotan pasaran dan kenaikan harga; ketirisan, pembaziran dan amalan korup dalam pentadbiran kewangan kerajaan yang mengurangkan peruntukan bagi kebajikan rakyat serta dasar-dasar kerajaan lain yang berat sebelah, menekan rakyat dan bersifat diskriminasi.
Yang lebih mendukacitakan ialah apabila pemberian tunai berkos tinggi ini akan terserlah sebagai suatu polisi ekonomi yang gagal tanpa membebaskan rakyat dari belenggu kesempitan hidup secara efektif pada jangka masa panjang sedangkan beban kepada perbendaharaan negara akan terus meningkat saban tahun.
Saya khuatir sekiranya budaya kebergantungan berlebihan ini dibiarkan berterusan selama beberapa dekad, maka segala usaha untuk meningkatkan produktiviti, nilai tambah dan keberdayasaingan negara akan menjadi sia-sia.
Tawaran langkah-langkah untuk memerangi dan seterusnya menghapuskan gejala rasuah dalam manifesto Barisan Nasional jelas merupakan suatu lelucon atau lawak jenaka sebagai bahan hiburan rakyat.
Berbekalkan kesungguhan politik yang jitu tanpa kepentingan peribadi, hanya pentadbiran Pakatan Rakyat bagi kerajaan pusat yang baru sahaja yang mampu membanteras secara signifikan wabak rasuah melalui Dasar Banteras Rasuah Negara (Debaran) seperti yang diperincikan dalam manifesto PRU13nya.
Saya akan terus menghuraikan kritikan membina mengenai perkara ini dan menyerahkan kepada rakyat untuk mengadili keupayaan manifesto Pakatan Rakyat dalam melaksanakan agenda perubahan seperti yang diimpikan rakyat berbanding manifesto Barisan Nasional.
Proses perbandingan idea dan dasar ini akan menjadi platform utama kempen PKR dalam PRU13 dengan melibatkan keseluruhan pimpinan, jentera pilihan raya dan semua calon.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan