27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
Dua warga Singapura maut manakala seorang lagi hilang selepas bot yang dinaiki lapan pemancing itu melanggar sebuah bot pukat tunda di perairan berhampiran Pulau Layang di Rompin semalam.
Mangsa dikenali sebagai Raymond Cheng Yuen Chi, 35, dan Ng Eng Hua, 37, yang mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala yang dipercayai akibat hentakan kuat semasa pelanggaran.
Mayat kedua-duanya dihantar ke Hosiptal Mersing untuk bedah siasat, kata Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Johari Jahaya.
Beliau berkata mangsa yang hilang dalam kejadian 4.30 petang itu masih gagal ditemui dan operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan pada pukul 7 malam disambung semula pukul 8 pagi tadi dan setakat tengah hari, mangsa masih belum ditemui.
Beliau berkata lima lagi tecedera dalam kejadian yang berlaku kira-kira 30 batu nautika dari Jeti Tanjung Gemok berhampiran pulau tersebut.
Tiga daripada mereka dirawat di Hospital Mersing manakala dua lagi menerima rawatan di Poliklinik Kuala Rompin.
"Bot yang dinaiki para pemancing itu dipercayai tidak menyedari kehadiran bot pukat tunda tersebut yang datang dari arah Pulau Tioman menuju Tanjung Gemok," kata Johari.
Bot itu dipercayai bertolak dari Jeti Kampung Sungai Puteri sejak awal pagi untuk membawa para pemancing di sekitar perairan Tanjung Gemok.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan