27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KOTA BHARU - Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggangnya secara bersendirian bergesel dengan sebuah lori seberat tiga tan, dari arah Kok Lanas ke Kota Bharu, dalam kejadian di hadapan stesen minyak Petronas, Tunjung di sini pagi semalam.
Akibat kejadian itu, mangsa Norshafika Akma Ismail, 20, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Kakak tiri mangsa, Nainun Che Musa, 30, berkata adik tirinya yang baru sahaja bekerja selama empat hari, dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Tunjung.
“Dia memang rapat dengan saya, walaupun kami berlainan mak dan setiap pagi, pada kebiasaannya dia sering menunggang motosikal untuk ke tempat kerjanya sebagai kerani di sebuah syarikat.
“Tidak saya sangka, perlakuannya malam kelmarin yang menunjukkan majalah sekolahnya kepada saya, sambil mengenang kisah semasa dia belajar di sekolah menengah empat tahun lalu, jadi petanda ajalnya,” katanya ketika ditemui di kawasan kejadian.
Nainun berkata, Norshafika merupakan adik yang baik dan rapat dengan keluarga dan mudah mesra dengan rakan-rakan.
“Pemergiannya amat mengejutkan dan kami tidak sangka kemesraan kami adik beradik pada malam kelmarin merupakan pengalaman terakhir bersamanya. Apa pun kami redha dengan ketentuan ini dan mengharapkan dia ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengebumian.
“Pemandu lori ada datang ke balai buat laporan polis sejurus selepas kejadian itu dan ditahan untuk tindakan susulan. Kes ini disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan