08 April 2013

Banner palsu, fitnah PR dikesan di seluruh Selangor

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



SHAH ALAM: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman mengingatkan rakyat seluruh Selangor berwaspada dengan kain rentang palsu yang dikesan sedang giat dipasang oleh pihak tidak bertanggungjawab di seluruh negeri ini.

Beliau berkata pihak petugas PAS mendapat maklumat lebih 240 lokasi telah ditetapkan untuk pemasangan kain rentang itu dengan tujuan mengelirukan penduduk setempat.

"Kain rentang tersebut mengambar seolah-olah ia dipasang oleh PAS dan juga DAP, sedangan kita tidak mengetahui langsung kewujudan kain rentang itu," kata beliau.

"Kesemua kain rentang itu berbentuk fitnah yang ditujukan kepada PAS yang mengatakan jika PAS memerintah hukum Islam dilaksanakan," katanya sambil menambah ianya bertujuan menakut-nakutkan pengundi bukan Islam.

Bercakap pada sidang media di pejabat PAS di sini, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Samad pula berkata pihaknya telah mengarahkan agar setiap ahli PAS segera menanggalkan kain rentang tersebut jika ada melihatnya dipasang.

"Kita mengarahkan agar kain rentang tersebut ditanggalkan segera jika ia didapati dipasang.

"Kita turut berharap agar rakyat tidak terpengaruh dengan fitnah yang dilakukan pada kain rentang itu," katanya.

Menurutnya lagi, tindakan menggunakan perkataan "Biro Penerangan PAS Pusat" pada kain rentang itu menunjukkan kain rentang tersebut didalangi Umno.

"Kita dalam PAS tidak menggunakan perkataan biro, PAS hanya menggunakan perkataan lajnah untuk setiap bahagian dalam pentadbiran PAS. Ini menunjukkan kain rentang itu milik Umno, mereka dah kantoi," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan kain rentang dan risalah fitnah itu mula dikesan sejak minggu lepas, malah petugas PAS juga berjaya menangkap sekumpulan empat pemuda memasang dan mengedarkan risalah di Semenyih.

"Kita berjaya menahan empat individu yang sedang memasang kain rentang tersebut pada 7 April kira-kira jam 630 petang.

"Malah laporan polis juga telah kita lakukan, ketika penahan tersebut terdapat banyak kain rentang berada dalam kenderaan mereka begitu juga senarai lokasi-lokasi yang perlu kain rentang itu dipasang," kata beliau.

PAS Selangor ujarnya akan membuat pemantauan terhadap lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan kepada kain rentang itu dipasang.

Harakahdaily/-


Tiada ulasan: