27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
PEGUAM
Zaid Ibrahim yang pernah menggempar politik negara sekarang seolah-olah
membuat kejutan lagi apabila dalam laman webnya dia menyeru pengundi
Melayu/Islam memberikan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13
ini.
Padanya, Pakatan Rakyat diberi peluang dulu bagi membuktikan mereka
boleh membuat perubahan atau tidak. Jangan mudah kata, negara akan
muflis di bawah Pakatan Rakyat sebelum ia diberi peluang.
Lalu disebutnya tentang PAS yang tidak pernah diberi peluang
mentadbir selain dari Kelantan, maka tiada bukti PAS tidak boleh
memerintah negara dengan baik.
Pandangan terbaru Zaid itu adalah sikap yang betul. Seruannya kepada
pengundi Melayu/Islam supaya memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat
baik calon parti mana saja perlulah diberi perhatian oleh semua pihak.
Dalam kenyataannya itu tidak pula dia mengecualikan sokongan kepada
calon PKR walaupun dia telah keluar PKR dan bergiat dalam parti lain.
Ertinya termasuk yang disuruhnya sokong ialah PKR.
Maka sikap terbarunya itu wajar disokong. Dalam saat semua pihak
mahukan perubahan, maka dengan semuanya menyokong Pakatan Rakyat,
barulah perubahan itu dapat dicapai.
Saya menduga Zaid mahu berada dalam landasan politik yang betul
semula. Apakah Zaid mahu mencari peluang untuk kembali semula ke tengah
arena politik yang popular? Politik yang paling popular pada masa ini
ialah berada bersama Pakatan Rakyat. Kalau tidak mudah untuk bersama PKR
semula, Zaid boleh memberi semua kerjasama dengan PAS dan DAP tanpa
mengganggu jalinan baik antara parti kerabat PR.
Sebarang tindakannya mendekati Pakatan semula jauh lebih mulia dari
tindakan beberapa orang yang selama ini mengecam Dr. Mahathir dan entah
kerana apa lalu mengadapnya sambil minta ampun maaf daripadanya,
menyesali mencercanya selama ini.
Ada baiknya komen baru Zaid itu dihargai. Walaupun kita kira dia
kurang sabar semasa meninggalkan PKR dulu, tetapi dia sudah memberi
pandangan baik kepada Pakatan yang sedang berhempas pulas menghadapi BN
itu.
Apapun Zaid menggemparkan politik negara apabila diberi peluang
menjadi menteri, beliau telah memulih rekod perkhidmatan hakim-hakim
yang ditribunal oleh Dr. Mlahathir dulu dan dia telah mendapatkan
imbuhan kewangan ganti rugi kerana disingkirkan dulu. Tiada orang UMNO
yang menilai jasa hakim-hakim itu tetapi Zaid membuat kerja yang mulia.
Kemudian dia menggemparkan negara apabila kerajaan Pak Lah yang
menjadikannya menteri menahan tiga orang di bawah ISA termasuk Teresa
Koh. Zaid membantah, meletak jawatan menteri dan keluar UMNO. Walaupun
kurang dari seminggu selepas penahanan, kerajaan membebaskan tahanan ISA
itu tetapi Zaid tidak menarik balik perletakan jawatannya.
Semua kata, dia silap keluar PKR. Dia juga dikira silap menyertai
parti politik yang ada nyawa ikan saja. Sangkaan silap terbukti apabila
dia bermasalah pula dengan politik barunya.
Sekarang membuat kenyataan betul. Moga-moga dia membuat banyak kenyataan betul lagi sehinggalah PRU berakhir.
Saya rasa Zaid boleh jadi orang yang boleh diterima masyarakat
semula. Mungkin PAS adalah parti yang wajar didekatinya. Tidak perlu dia
memohon jadi anggota PAS. Tetapi dia boleh meneruskan kerjasama dengan
PAS Kota Bharu seperti yang dibuatnya sebelum ini. Dia memberi kemudahan
kepada PAS memberi bangunannya yang mulanya bangunan itu dibina sebagai
pejabat UMNO.
Dia boleh membantu PAS dalam PRU ini dalam berbagai cara. Tak perlu
mengisi barang PAS. Selepas pilihanraya ini Zaid boleh menghadiri
tiap-tiap minggu kuliah Jumaat Tok Guru Nik Aziz. Tunjukkan sikap
seperti yang orang PAS tunjukkan. Biar orang lihat Zaid adalah orang PAS
yang tidak menjadi ahli. Lima tahun selepas itu pemimpin PAS akan
isikan borang PAS untuk Zaid tanpa Zaid mohon menjadi ahli. Masa itu
orang lihat Zaid seperti Khalid ibn Walid. Cerita Zaid pernah saman
Kelantan tentang hudud lenyap dari ingatan.
harakahdialy/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan