KUANTAN: Semakin ramai anak muda kini menghulurkan bantuan kepada Pakatan Rakyat dalam misi mereka untuk menawan Putrajaya.
Di Indera Sempurna semalam, sekumpulan mahasiswa dari universiti sekitar Pahang yang diketuai oleh Ahmad Fatihi Makhtar selaku Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Pahang mengisytiharkan secara terbuka kebersamaan mahasiswa Pahang untuk membantu memenangkan Pakatan Rakyat Pahang dalam PRU13 nanti. (Gambar atas)
Dalam majlis itu, sekeping plakad sebagai simbolik sokongan oleh mahasiswa ini diserahkan kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Pahang dan Leong Ngah Ngah, Pengerusi DAP Pahang.
Acara ini disambut dengan laungan takbir dan tepukan oleh ribuan pengunjung.
Wakil mahasiswa ini juga diberi penghormatan untuk menyampaikan pidato ringkas di pentas politik.
Dalam ucapan beliau, Ahmad Fatihi menegaskan bahawa tembok ketakutan mahasiswa telah pecah dan gelora kebangkitan anak muda ini sudah tidak dapat disekat lagi. Mahasiswa telah mendapat maklumat yang pelbagai dan tidak hanya "beriman" kepada media kerajaan.
Gamis Pahang yang mempunyai hampir 500 tenaga mahasiswa ini mengumumkan akan menggerakkan agenda kebangkitan ini sekaligus menjadi penyuntik semangat kepada petugas-petugas Pakatan Rakyat yang lain.
Beberapa siri program jelajah bertemu dengan rakyat telah dilaksanakan sejak seawal Febuari yang lalu dan dijangka akan turut turun berkempen bersama calon Pakatan Rakyat nanti.
Kumpulan mahasiswa ini juga merancang akan menggerakkan satu front baru, iaitu Gelombang Anak Muda Tolak BN (Tolak) yang merupakan solidariti bersama beberapa NGO dan gerakan anak muda. Mereka bercadang akan jelajah ke seluruh negeri Pahang sebelum tarikh PRU ini untuk memberi kesedaran kepada masyarakat Pahang tentang mengapa mesti menolak BN. Gelombang Tolak ini juga telah berlangsung di Lembah Klang dan Johor.
Sebelum itu, di satu majlis Hi-Tea di Taman Jengka Mahkota, Tuan Ibrahim juga disambut hebat oleh anak-anak muda yang ingin bersama memenangkan calon PAS di Jengka.
Anak-anak muda sudahpun mula mengeluarkan baju-T dengan wajah Tuan Ibrahim dan pelbagai lukisan kreatif menandakan sokongan mereka terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.
Orang Muda dah sememangnya geng kita.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan