27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Sejak Pakatan Rakyat melancarkan manifestonya pada 25 Februari 2013, para pemimpin Umno-BN telah menyerang bahawa tawaran pembangkang akan menyebabkan negara muflis.
Tapi, Sabtu lepas, BN melancarkan manifesto yang hampir sama dengan apa yang ditawarkan pembangkang.
Rakyat, terutamanya anak-anak muda dan warga internet terus menuduh BN menciplak manifesto PR dengan hanya mengubah ayat-ayat supaya tidak kelihatan sama.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menunjukkan sembilan perkara yang diciplak oleh Barisan Nasional dari manifesto Pakatan.
Ia termasuklah menaikkan royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak dari 5 ke 20 peratus, penurunan harga kereta dan juga lebuhraya di Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pula berkata 22 perkara dalam manifesto PR diceduk BN.
Media antarabangsa Bloomberg juga memandang perkara ini dalam sudut yang sama.
“Semua janji ini dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar ketika membentangkan manifesto Pakatan Rakyat enam minggu sebelum Barisan Nasional membentangkannya dalam perhimpunan hujung minggu lalu," lapor Blomberg.
Jadi apakah hikmah di sebalik semua ini.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, semua ini menunjukkan bahawa janji-janji PR sememangnya boleh dilaksanakan tanpa memufliskan negara sebagaimana yang didakwa BN.
“Sebelum ceduk, Umno-BN kata akan bangkrapkan negara. Selepas ceduk, Umno-BN kata mampu lakukan.
"Tersiratnya ialah Umno-BN mengakui manifesto Pakatan Rakyat sememangnya boleh dilaksanakan. Betul tak?” tulis Tuan Ibrahim di Facebooknya.
Tuan Ibrahim juga menyindir dengan serangkap pantun buat BN.
Rendang ayam lauk lazat,
Terlampau banyak jadi biasa,
Mulut jangan cepat sangat,
Kerana mulut diri binasa.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan