08 April 2013

Dua beradik cedera parah ditembak seorang lelaki

27 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


BUKIT MERTAJAM - Dua beradik cedera parah selepas ditembak seorang lelaki yang tidak dikenali di kawasan rumah mereka di Taman Bayu Mutiara, di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, lima orang termasuk ibu dan bapa mereka sedang berbual dalam kawasan garaj.

"Tiba-tiba sebuah kereta berhenti di hadapan rumah itu dan seorang lelaki yang duduk di kerusi hadapan sebelah pemandu keluar dan melepaskan tembakan ke arah keluarga berkenaan sebelum melarikan diri menaiki kereta," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Katanya akibat kejadian itu, dua beradik iaitu seorang wanita, 31, dan seorang lelaki, 36, mengalami kecederaan parah selepas terkena tembakan.

"Lelaki yang menjalankan perniagaan pengangkutan itu mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan di dada, leher, punggung dan tangannya manakala adiknya cedera ringan selepas terkena tembakan di lengan kiri dan badan," katanya.

Mazlan berkata, mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Katanya siasatan awal mendapati lelaki yang melepaskan tembakan itu mensasarkan adik lelaki mangsa yang berusia 22 tahun berikutan masalah perniagaan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: