04 April 2012

Bekas eksekutif pecah amanah dijel 9 tahun

12 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Mendapat padah akibat pecah amanah, bekas eksekutif akaun dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun selain dikenakan lapan sebatan dan denda RM4.6 juta selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim, Mohd Nasir Nordin memerintahkan hukuman terbabit ke atas M Suresh, 41, selepas meneliti hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan ke atas 57 pertuduhan pecah amanah dalam tempoh setahun, sejak Disember 2007.

Berdasarkan fakta kes, Suresh berhadapan dengan 20 pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah membabitkan sejumlah RM6,525,930 dan AS$435,000 milik sebuah syarikat kimpalan di Pasir Gudang, di sini.

Dia turut berhadapan dengan 20 pertuduhan lain di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dibaca bersama 467 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan 20 keping borang pindahan telegrafik melalui dua bank.

Suresh bertindak menggunakan wang milik syarikat kimpalan itu dan dipindahkan kepada empat akaun syarikat lain, membabitkan syarikat miliknya dan adiknya yang memegang jawatan sebagai pengarah.

Manakala, 17 lagi pertuduhan yang didakwa ke atas Suresh di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) kerana terlibat dalam penggubahan wang haram.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nuur Fakhizaa Abu Bakar, M Puveneswaran, Iskandar Shah Ibrahim dan Norasyikin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam V Stanilaslaus.

Sinar Harian

Tiada ulasan: