04 April 2012

Ditahan di pusat pemulihan

12 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KAMPUNG RAJA – Seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta berusia 19 tahun, diperintah ditahan di rumah pemulihan akhlak selama enam bulan, apabila dia mengaku bersalah sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah, di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof menjatuhkan hukuman itu apabila beliau berpuas hati dengan pengakuan salah dan rayuan tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.

Manakala pasangan pelajar itu, seorang pemandu lori berusia 23 tahun pula, dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu ditangkap di dalam sebuah kereta Proton Wira di bawah pokok rhu tepi pantai Benting Lintang dekat Tembila di sini pada jam 12.30 pagi, 1 Mac lalu bersama pasangannya yang tidak sah atau mahram.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 29, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) 2001 Terengganu kerana kesala-han persediaan melakukan persetubuhan luar nikah, yang boleh dihukum di bawah seksyen sama iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Nik Mohd Shahril Irwan ketika membacakan fakta kes memberitahu, bertindak atas maklumat, penguat kuasa syariah melakukan rondaan dan tinjauan di sekitar kawasan pantai Benting Lintang pada tarikh tersebut.

Penguat kuasa mendapati kereta tertuduh dihujung jalan mati dan mendekati kereta itu dari arah belakang ke tepi pintu sebelah penumpang.

Didapati semua pintu dan tingkap tertutup rapat dengan enjin dan penghawa dingin dihidupkan, manakala keadaan ketika itu sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.

Dengan menggunakan lampu suluh ke dalam kereta , penguat kuasa mendapati, kedua-dua tertuduh dalam keadaan separuh bogel menutup kemaluan masing-masing dengan tangan.

Nik Mohd Shahril Irwan berkata, penguat kuasa mendapati di bahagian kerusi hadapan terdapat seluar dan seluar dalam milik mereka.

Sementara itu beberapa barang kes milik kedua-dua tertuduh seperti seluar dalam milik lelaki dan perempuan, seluar jeans, sukan (track) dibawa ke mahkamah untuk pengesahan tertuduh.

Pelajar perempuan tersebut beralamat di Kampung Lak Lok, Jertih manakala pasangannya dari Kubang Ikan, dekat Kampung Raja.

Mohd Nazri menegur sikap keterlaluan pasangan malah kecewa apabila tertuduh lelaki memberitahu mahkamah dia tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin dengan pelajar kolej itu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: