04 April 2012

Pak Samad jangka 500,000 sertai Bersih 3.0

12 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 April: Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk A.Samad Said atau Pak Samad menjangkakan seramai 500,000 rakyat akan menyertai himpunan Bersih 3.0 pada 28 April nanti.

Bercakap pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor hari ini saterawan negara itu berkata, ianya berdasarkan maklum balas banyak pihak yang bertanya kepadanya bila Bersih 3.0 akan diadakan.

"Saya sendiri berada dimana-mana dan orang tanya bila Bersih 3.0.

"Daripada interaksi, berjumpa dalam majlis atau dalam facebook, saya mengkhayalkan setidak tidanknya kita akan mengumpulkan seramai 500,000 (akan hadir)," katanya.

Menurut Sasterawan Negara itu juga, jumlah itu tidak mustahil kerana ianya akan berlangsung serentak di seluruh negara malah seluruh dunia.

"Jadi dengan apa yang diwawarkan kalau tidak melakukan ini dengan penuh ghairah, kita tidak akan dapat merubah pemerintahan yang menggunakan semua cara untuk kekal selama 54 tahun," tambahnya lagi.

Terdahulu beliau mengumumkan bahawa himpunan besar-besaran Bersih 3.0 akan diadakan pada hari Sabtu 28 April ini.

Ianya akan diadakan jam 2 petang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Himpunan itu juga akan diadakan serentak seluruh negara dan lebih 32 negara lain di seluruh dunia.

"Jawatankuasa pilihan khas dan kerajaan tidak mengambilserius terhadap tuduhan penipuan.

"Justeru, Bersih 2.0 akan berkumpul duduk bantah secara aman di seluruh negara dan diseluruh dunia. Sabtu 28 April jam 2 hingga 4 petang...ini adalah Bersih 3.0," katanya.

Harakah Daily

1 ulasan:

suhaimi berkata...

CAYALAH PAK SAMAD.....