04 April 2012

Pelajar cemerlang Kelantan dapat RM500

12 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 4 April: Kerajaan Kelantan akan meneruskan sumbangan kepada semua pelajar cemerlang negeri ini bagi kali keempat sebanyak RM500.

Keputusan itu telah diluluskan pada mesyuarat exco hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangun Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar), berkata semua pelajar cemerlang dalam tiga peperiksaan SPM, STPM dan STAM yang mengambil peperiksaan di negeri itu layak menerima.

“Selain itu, anak Kelantan yang belajar di luar Kelantan juga layak menerima sumbangan kerajaan negeri,” ujarnya kepada media selepas mesyuarat exco.

Sambungnya, mana-mana pelajar yang layak menerima mesti mendapat 9A ke atas dalam peperiksaan SPM, STAM (mumtaz) dan STPM (4P) ke atas.

Jelasnya, mana-mana pelajar yang layak mesti mendapatkan borang khas yang dikeluarkan oleh Yayasan Islam Kelantan (Yik) minggu hadapan yang dilantik sebagai urusetia dalam program itu.

“Saya minta rakan-rakan pelajar sekolah termasuk sekolah kementerian atau ibu bapa sendiri memaklumkan perkara ini pada kawan atau anak masing-masing.

“Kita tidak mahu ada yang tercicir macam sebelum ini, dah lepas lama majlis siap baru ada yang datang memohon,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pelajar cemerlang yang terlibat menghubungi Yik bermula minggu hadapan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: