04 April 2012

Rampasan diesel bernilai RM3,000

12 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Sebuah premis tidak bernombor yang dikesan menjalankan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi bernilai kira-kira RM3,000, diserbu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor, di Seksyen 25, di sini, petang kelmarin.

Ketua Penguat Kuasa PPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 5.30 petang, selepas pihaknya menerima aduan berhubung kegiatan haram premis itu daripada orang ramai.

Beliau berkata, ketika pihaknya tiba di kawasan terbabit mendapati pintu pagar berkunci, selain terdapat anjing dalam premis.

Menurutnya, enam pegawai penguat kuasanya yang diketuai Najib Shaukrol Kiah bertindak mengetuk pagar premis dan memanggil pemiliknya, namun tiada maklum balas.

“Kita menunggu selama 15 minit, sebelum bertindak masuk melalui dinding pada bahagian tepi premis yang tidak ditutup hingga ke bawah.

“Pemeriksaan dalam premis menemui dua tong muatan 1,000 liter setiap satu yang berisi kira-kira 1,500 liter minyak disyaki diesel, empat tong kosong dan dua tong dram dan skid tangki kosong,” katanya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS), semalam.

Othman berkata, setelah hampir setengah jam pemeriksaan dibuat, datang seorang lelaki berusia 39 tahun mengaku pemilik premis serta mendakwa jalankan perniagaan itu sejak tiga bulan lalu.

“Siasatan awal menunjukkan pemilik premis menggunakan modus operandi dengan mengutip minyak dari stesen minyak dalam kuantiti sedikit, sebelum dijual kepada pihak industri.

Beliau berkata, semua minyak disita untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sinar Harian

Tiada ulasan: