04 April 2012

Mawar selamat dibedah

12 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Syukur! Tiada apa yang mampu diungkapkan apabila pembedahan ke atas anak bongsunya selamat dilakukan.

Walaupun terpaksa menunggu hampir lima jam, namun segala penat itu terbalas dengan khabar gembira apabila Mawar Nur Farisya, 2, selamat tanpa sebarang komplikasi.

Bapanya, Farid Alsuwad yang pada awalnya begitu bimbang dengan pembedahan anaknya itu, memandangkan keadaan Mawar yang masih kecil, namun demi masa depan anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia dan isterinya tawakal dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku.

“Sebelum pembeda­han, saya sudah dimaklumkan oleh doktor mengenai pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Saya reda dan bersedia. Namun hati saya dan isteri kuat mengatakan pembedahan ini pasti berjaya. Semalaman kami tidak lena, takut dengan pembedahan hari ini (semalam). Kami tidak putus berdoa dan berharap ALLAH membantu kami.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan mudah-mudahan anak saya dapat sembuh seperti kanak-kanak yang lain. Mawar adalah permata hati kami selain dua anak kami.

“Sekalung penghargaan kepada Sinar Harian yang sentiasa memberi liputan mengenai keadaan anak saya. Saya juga merakamkan ju­taan terima kasih kepada semua yang menyumbang. Kerana semua ini, anak saya selamat dibedah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pembedahan adik Mawar dilakukan pakar bedah, Dr Lee Wee Seng di Hospital Gleneagles, di sini semalam. Pembedahan yang bermula jam 9.30 pagi itu berakhir pada 2.45 petang.

Dr Wee Seng berkata, Mawar berada dalam keadaan stabil, namun perlu dipantau di unit rawatan rapi (ICU) selama tiga hari sebelum dipindahkan ke wad biasa.

Mawar juga masih memerlukan bantuan oksigen, namun sudah boleh menyusu seperti biasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kisah Mawar yang ini menghidap penyakit jantung berlubang serta injap tersumbat dan memerlukan kos rawatan sebanyak RM40,000.

Sinar Harian

Tiada ulasan: