04 April 2012

Makan nasi campur berlauk lipas

12 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

IPOH – Tiga sekeluarga yang sedang enak menjamu selera di sebuah kedai makan di Bandar Baru, Kuala Kangsar dekat sini pagi semalam tersentak apabila salah satu pinggan hidangan mereka turut ‘disajikan’ dengan seekor lipas mati.

Che Abidin Ajib, 52, mendakwa insiden itu berlaku pada jam 10.30 pagi sewaktu dia bersama isteri dan anak lelakinya menikmati sarapan pagi di kedai berkenaan.

Beliau yang menetap di Sungai Siput bersama keluarganya mendakwa selalu mengunjungi kedai makan tersebut yang dikendalikan oleh warga Kemboja yang sudah lama menetap di negara ini.

Kakitangan kerajaan itu mendakwa, sewaktu kejadian, isterinya, Sharifah Safura Syed Isa, 36, sedang menikmati kuey teow goreng sebelum menemui lipas itu di dalam pinggan tersebut.

“Kira-kira enam bulan lalu, saya pernah menemui telur lipas di dalam minuman di kedai yang sama namun tidak menyangka kejadian yang lebih kurang sama berlaku pada hari ini (semalam).

“Setibanya isteri saya di rumah, dia terus muntah kerana berasa jijik dengan penemuan serangga itu,” katanya ketika hadir di Pejabat Sinar Harian, semalam.

Che Abidin turut bertindak memberitahu pemilik kedai terbabit berhubung penemuan lipas tersebut.

“Bagaimanapun, pemilik kedai hanya meminta maaf dan berkata ia mungkin kecuaian pekerjanya sewaktu menyediakan makanan,” katanya.

Katanya, harga makanan dan minuman yang berjumlah RM18 juga turut dibayar kerana dia tidak mahu perkara itu terus berpanjangan.

“Saya malas untuk bertegang urat dengan pemilik kedai itu dan bertindak meninggalkan premisnya dengan segera.

“Oleh itu, saya berharap premis yang menjual makanan perlu menjaga kebersihan secara keseluruhan agar perkara sebegini tidak akan berulang ke atas orang lain,” katanya.

Sinar

Tiada ulasan: