16 Mei 2012

Ketua balai disyaki miliki dadah

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang bertugas sebagai Ketua Balai di salah sebuah daerah di negeri ini ditahan kerana disyaki memiliki dan mengambil dadah di pejabatnya, 24 April lalu.

Sebelum ini, pegawai polis berkenaan pernah berkhidmat sebagai Ketua Balai di negeri lain, tetapi dipindahkan ke negeri ini selepas mempunyai salah laku dalam tugasnya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata, Inspektor berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan selepas pihaknya menemui peket kecil berisi dadah dipercayai jenis ketamin di balai berkenaan.

Menurutnya, pegawai yang sudah berkhidmat 15 tahun dalam polis itu turut didapati positif dadah jenis yang sama ketika melakukan ujian air kencing pada hari yang sama dia ditahan.

“Penangkapan pegawai tersebut membuktikan polis tidak melindungi anggota mereka yang didapati terbabit dengan jenayah.

“Sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang ini sama ada anggota polis atau siapa sahaja, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, pegawai berkenaan kini dipindahkan ke bahagian pentadbiran buat sementara waktu bagi pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

Sinar Harian

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apa nk hairan polis sekarang nk cari yg betul2 AMANAH payah nk jumpa,,kes dadah bernilai jutaan ringgit yg hilang dlm bilk kebal balai polis di Johor dulu cmna?? Macam mana boleh hilang? Siapa yang ambil?