16 Mei 2012

Lelaki bakar rumah direman 4 hari

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Lelaki yang dipercayai membakar kediaman mereka sekeluarga sehingga musnah dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, di sini, kelmarin direman empat hari bermula semalam.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret, di sini, semalam bagi membolehkan suspek, 22, dari Kampung Gong Kijang, di sini disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan.

Suspek yang bekerja sendiri itu diserahkan oleh orang awam kepada sepasukan polis ronda cegah jenayah di lokasi kejadian kira-kira jam 3.45 petang, kelmarin.

Suspek dipercayai membakar kediaman pusaka keluarganya yang didiami berpuluh-puluh tahun sebelum ini melibatkan kerugian sehingga RM100,000.

Hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif pil kuda.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang anak sanggup bertindak di luar batasan dengan membakar kediaman mereka sekeluarga, selepas permintaannya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan bapanya.

Suspek, anak sulung daripada tiga beradik itu dipercayai berada dalam pengaruh dadah sebelum menggesa bapanya yang berusia 45 tahun menyerahkan wang RM10 kepadanya.

Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri sejurus menyedari tindakannya itu menyebabkan rumahnya hangus, namun gagal kerana berjaya dipatahkan anggota Rakan Cegah Jenayah (RCJ) Terengganu serta bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Sinar Harian

Tiada ulasan: