24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
KUANTAN - Suasana santai bersama keluarga terganggu apabila ribut melanda enam keluarga di Kampung Peramu, di sini.
Dalam kejadian malam Isnin lalu, Nora Abu Bakar, 37, bersama tiga anaknya beristirahat diruang tamu sambil menonton televisyen.
Namun, angin kencang dan hujan lebat menerbangkan atap zink di bahagian dapur rumahnya.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika saya bersama anak-anak leka menonton televisyen.
“Kejadian berlaku dengan tiba-tiba dan saya hanya mampu melihat atap tercabut membuatkan sebahagian dapur basah,” katanya ketika ditemui pada Lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur, Datuk Wan Adnan Wan Mamat, di sini.
Nora berkata, sebaik kejadian itu, dia terus menghubungi suaminya, Zulkifli Osman, 48, yang masih di tempat kerja.
Zulkifli berkata, dia bergegas pulang ke rumah untuk melihat keadaan rumahnya yang mengalami beberapa kerosakan.
“Terdapat kayu terperosok di bahagian atas atap menyebabkan kerosakan agak teruk. Buat masa ini saya terpaksa menggunakan khemah untuk menadah air sebelum kerosakan dibaiki.
“Nasib baik isteri dan anak-anak tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Bagi ibu tunggal, Gayah Abdul Rahman, 69, pula memberitahu, dia tidak menyangka ribut kencang yang melanda menyebabkan beberapa bumbung rumahnya rosak.
Katanya, pada malam kejadian, tidurnya bersama tiga anaknya terganggu kerana ruang tamu dibasahi hujan.
“Sejak di sini kira-kira 11 tahun lalu, inilah kejadian ribut pertama yang menimpa keluarga kami.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semuanya selamat dan ada pihak yang prihatin memberi bantuan,” katanya.
Sementara itu, Wan Adnan berkata, nasib enam keluarga yang dilanda ribut itu akan diberi perhatian oleh kerajaan negeri melalui bantuan bencana bernilai RM1,000.
Bagaimanapun, bantuan segera diberikan terlebih dahulu bagi meringankan beban mangsa ribut untuk membaiki kerosakan yang berlaku.
“Kita bersimpati dengan kejadian yang melanda dan kerajaan sentiasa prihatin dan memberi bantuan sewajarnya untuk membantu meringankan beban,” katanya.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan