16 Mei 2012

Maut dirempuh dua remaja

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Seorang lelaki maut di tempat kejadian apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh dua remaja menaiki motosikal ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sungai Nibong, di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, dalam kejadian itu, mangsa, Chong Ting Huat, 56, menunggang motosikal seorang diri dari arah Teluk Intan ke Sungai Nibong.

Menurutnya, apabila tiba di persimpangan berkenaan, mangsa berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah.

“Ketika sedang berhenti, tiba-tiba sebuah motosikal yang ditunggang dua remaja berumur 16 dan 17 tahun merempuh lelaki itu.

“Rempuhan berkenaan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian serta maut ke tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini.

Kata beliau, manakala dua remaja turut mengalami kecederaan yang agak serius dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.

Jelasnya, siasatan lanjut terhadap kedua-dua remaja itu mendapati mereka tidak mempunyai lesen memandu selain menggunakan motosikal milik saudara.

“Menjadi satu kesalahan kepada mana-mana individu yang tidak mempunyai lesen membawa motosikal dan akan memberi kesan kepada pemilik kenderaan itu sendiri.

“Oleh itu, saya menasihatkan kepada Ibu bapa dan masyarakat supaya tidak terlalu membenarkan anak mereka yang tiada lesen untuk membawa kenderaan kerana akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

“Kecuaian mereka boleh memberi kesan negatif kepada diri sendiri dan juga orang lain seperti mana yang berlaku pada lelaki yang maut dilanggar dua remaja berkenaan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: