16 Mei 2012

Maut jatuh pangsapuri

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat empat rumahnya di Pangsapuri Villa Angkasa dekat Sentul di sini, malam kelmarin.

Kanak-kanak terbabit ditemui terbaring di kawasan letak kereta pangsapuri itu jam 9.45 malam oleh seorang penduduk sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, mangsa yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia selepas empat jam diberikan rawatan di hospital.

Difahamkan, ketika kejadian, ibu kanak-kanak itu sedang mandi, manakala mangsa bermain bersama adik bongsunya berusia tujuh tahun dalam sebuah bilik.

Sumber berkata, kanak-kanak itu memanjat tingkap di bilik berkenaan sebelum tergelincir dan terjatuh ke tempat letak kereta pangsapuri terbabit.

Katanya, sejurus kejadian itu, seorang lelaki yang juga jiran mangsa terdengar bunyi dentuman kuat di kawasan letak kereta sebelum bergegas melihat apa yang berlaku.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

berita harian/-

Tiada ulasan: