24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan selamat Hari Guru bagi tahun 2012 kepada semua pendidik di negara ini. Syabas dan tahniah kepada para guru yang berterusan memberikan perkhidmatan dalam dunia pendidikan tanpa berasa lelah, jemu dan berputus asa bagi memastikan kecemerlangan akademik terhadap pelajar-pelajar setiap tahun.
DPPM menyanjung tinggi segala pengorbanan yang dicurahkan oleh golongan pendidik dalam melahirkan generasi yang beriman, bertaqwa dan berharga dalam masyarakat. Mereka umpama obor yang menerangi alam dengan ilmu dan hikmah yang mereka tebarkan. Tanpa mereka tiadalah semua golongan cendikiawan, cerdik pandai, pemimpin dan ahli politik hebat seperti sekarang. Sewajarnya peranan dan sumbangan mereka dimartabatkan setingginya.
DPPM menekankan bahawa komitmen Pakatan Rakyat terhadap para pendidik amat tinggi dengan berusaha pembelaan yang sewajarnya kepada mereka. Malahan, segala imbalan dari kerajaan pusat untuk guru guru termasuk ura-ura tambahan tawaran oleh kerajaan sempena Sambutan Hari Guru adalah hasil daripada perjuangan PR melalui Buku Jingga. Pakatan Rakyat juga berusaha memastikan pendidikan percuma dinikmati oleh rakyat segenap peringkat dari peringkat bawahan sehinggalah keperingkat tertinggi. Adalah diharapkan, tiada seorang pun rakyat tercicir dari menerima pendidikan sebagai asas dalam kehidupan.
Semoga para guru dan pendidik terus membimbing ummah sebagai insan teladan dan terpuji sepanjang zaman. DPPM mendoakan para pendidik sentiasa mendapat kemuliaan disisi masyarakat dan mereka pula berusaha melipatgandakan dedikasi mereka dalam dunia pendidikan.
DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan