16 Mei 2012

Maria Chin: Jangan Layan 120 Orang Peserta BERSIH Macam Penjenayah

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Polis perlu menghantar surat pemberitahuan lebih awal kepada 120 orang peserta BERSIH 3.0 sebelum bertindak menahan atas dakwaan menimbulkan kekacauan semasa himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 3.0 mengesa agar polis tidak melayan kesemua peserta ini sebagai penjenayah kerana banyak kaedah lain untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka ini.

Menurutnya, jika polis ingin meminta kerjasama peserta BERSIH 3.0, polis perlu bertindak secara professional dengan tidak hanya menggertak dan menakut-nakutkan mereka supaya hadir ke balai polis sebelum tindakan diambil.

“Jika benar polis mempunyai nama mereka, kenapa tidak menghantar surat pemberitahuan kepada mereka yang terlibat dan bukannya hanya menyiarkan gambar mereka di dada akhbar-akhbar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, penangkapan 120 orang ini merupakan salah satu bentuk gangguan dan tidak seharusnya berlaku kerana polismempunyai data yang diperlukan untuk mengetahui alamat peserta-peserta BERSIH 3.0 ini.

Sementara itu, mulai esok polis akan mencari 120 orang baki individu-individu yang disyaki terlibat mencetuskan rusuhan pada himpunan bantah terhadap keengganan Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) menunaikan lapan tuntutan bagi membaiki sistem pilihanraya di Malaysia.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar sebelum ini dipetik berkata, polis tidak memerlukan waran tangkap untuk menahan mereka kerana terlibat dengan kesalahan lazim seperti merusuh dan polis berhak menahan sesiapa sahaja untuk siasatan.

Maria Chin juga menasihati mana-mana individu yang akan dipanggil polis tidak perlu panik dan jangan melawan polis tetapi perlu mendapatkan nama pegawai, balai polis serta nombor pegawai yang menghubunginya.

“Individu-individu terbabit akan diberi khidmat guaman atau boleh terus menghubungi pihak SUARAM atau Ahli Jawatankuasa Bersih 3.0 dan jangan menghadirkan diri ke balai polis seorang diri,” jelasnya lagi.

Nombor yang boleh dihubungi adalah 03-77723275 atau 016-9670921 bagi mendapatkan khidmat nasihat atau bantuan guaman yang telah disediakan.

selangorku/-

Tiada ulasan: