30 Rejab 1433H. [MOD] -
KEPALA BATAS - Pengguna dan pengusaha kedai makan di sekitar daerah ini, rasa tertipu apabila membeli minyak masak yang dipercayai dikitar semula.
Seorang pemilik restoran, Datuk Dr Husaini Yaakob berkata, selama ini mereka yakin bahawa bahan penting masakan itu tulen.
Namun, menurutnya, mereka mula khuatir dan bimbang setelah mendapati minyak masak itu bertukar warna hitam dan cair selepas hanya sekali digunakan.
“Saya percaya minyak masak ini sebenarnya telah digunakan sebelum dikitar dan diedar semula kepada pengguna berikutan kandungan kepekatannya tidak menyamai minyak masak berjenama lain.
“Kita sarankan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) segera berbuat sesuatu bagi mengawal penipuan ini,” katanya.
Husaini, yang juga aktivis masyarakat berkata, penipuan sebegini harus dibendung kerana kesannya lebih banyak dirasai oleh pengguna.
“Pihak terlibat dalam kegiatan jahat ini hanya pentingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesannya kepada pengguna.
“Malah, minyak yang dikitar semula ini juga tentunya boleh diragui dari segi halalnya kerana dipercayai turut dikutip dari restoran bukan Islam untuk diproses sebelum diedar di pasaran semula,” katanya yang turut mempunyai pengetahuan dalam bidang industri melibatkan kandungan minyak kelapa sawit.
Sementara itu, seorang pegawai KPDNKK SPU yang dihubungi berkata, penipuan minyak masak yang dikitar semula itu melibatkan minyak yang belum dimasak dan telah digunakan.
“Kebiasaannya kita akan membuat pemantauan bersama Jabatan Kesihatan selepas menerima maklumat orang awam, namun disebabkan maklumat itu tidak tepat, sehingga kini pihak kita belum lagi dapat menahan pelakunya.
“Pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, di mana orang perseorangan boleh didenda RM100,000 dan dua tahun penjara, manakala syarikat pula boleh dikenakan denda RM250,000,” katanya.
Menurutnya, pihaknya sentiasa bersedia melakukan siasatan apabila mendapat maklumat demi menjaga kebajikan pengguna dan tidak memandang remeh penipuan itu selama ini.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan