30 Rejab 1433H. [MOD] -
TUMPAT – Kejadian lebihan voltan yang berlaku Ahad lalu di Kampung Pulau Seratus menyebabkan tujuh keluarga terpaksa menanggung kerugian hampir RM20,000 apabila peralatan elektrik mereka rosak.
Lebihan voltan itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika penghuni di tujuh rumah terlibat sedang menggunakan barangan elektrik sehingga menyebabkan mesin basuh, televisyen, kipas dan barangan elektrik lain rosak terbakar.
Seorang penduduk, Zawiyah Mohd Yaakob, 37, berkata dia menyedari berlakunya lebihan voltan apabila televisyennya tiba-tiba berasap selepas suisnya ditekan.
“Saya tidak tahu ada kejadian lebihan voltan kerana baru pulang dari berniaga di Kota Bharu.
“Bila sampai di rumah terus menekan suis televisyen kerana ingin menonton sebuah rancangan, tetapi lain pula jadinya kerana televisyen LCD yang baru dibeli berasap dengan tiba-tiba,” katanya.
Menurutnya, panik dengan apa yang berlaku, dia terus menutup suis utama.
Katanya, kejadian lebihan voltan itu juga menyebabkan mesin basuhnya rosak, kerugian dianggarkan hampir RM4,000.
Bagi Norhayati Zakaria, 46, dia juga turut menjadi mangsa kejadian lebihan voltan apabila peralatan elektriknya rosak.
“Nasib baik tiada kemalangan jiwa berlaku, cuma televisyen dan kipas sahaja yang rosak,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu disedari suaminya, Mohd Fauzi Mustapha apabila kipas tiba-tiba berpusing dengan laju.
“Memang panik seketika dan selepas itu televisyen pula keluar api, cepat-cepat ditutupnya suis utama,” katanya.
Menurutnya, kejadian itu amat menakutkannya dan sanggup bergelap semalaman walaupun bekalan elektrik dibaik pulih oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas itu.
Norhayati mendakwa dia mengalami kerugian hampir RM1,000.
Bagi Siti Esah Mamat, 43, berkata, pada mulanya dia menyangka ada gangguan bekalan elektrik kerana skrin televisyennya tiba-tiba menjadi gelap.
“Tidak puas hati dengan apa yang berlaku, saya memasang lampu tetapi lain pula jadinya kerana lampu tibatiba meletup.
“Saya terus tutup suis utama dan menunggu hingga ke malam untuk menggunakan bekalan elektrik semula.
“Saya mengalami kerugian hampir RM3,000 apabila televisyen yang baru dibeli rosak terbakar,” katanya.
Sementara itu pihak TNB ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan kejadian lebihan voltan itu berlaku bukan disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraan bekalan elektrik.
“Siasatan awal mendapati puncanya disebabkan oleh tiang elektrik di kampung terbabit ditimpa buah kelapa,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan