20 Jun 2012

Mandi bersama jinak singa

30 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU: Petua mandi bersama singa rahsia seorang penjaga haiwan di Zoo Johor menjinakkan haiwan pemangsa itu, kerana berpendapat air mandian boleh mengeratkan hubungan antara makhluk Allah.

Selain menjalankan tugas sebagai penjaga haiwan, Mohd Sham Mahdon, 53, kini berasakan tindakannya itu sebagai tanggungjawabnya sama seperti membersihkan anak sendiri. Mohd Sham yang berkhidmat sejak lebih 30 tahun lalu berkata, dia tidak pernah memakai atau menggunakan ilmu penunduk bagi menjinakkan enam singa di bawah jagaannya, sebaliknya mengamalkan petua mandi bersama anak singa ketika ia masih kecil setiap hari.

“Saya mendapat petua itu daripada seorang kawan yang berpesan, setiap haiwan liar akan jinak sekiranya mandi bersama kerana air mandian manusia dan haiwan bersatu membangkitkan pertalian lebih erat antara makhluk Tuhan.

“Memang petua itu berkesan apabila semua singa di bawah jagaan amat manja dan dianggap seperti anak sendiri kerana sekiranya berjauhan, pasti merindui mereka.

“Memang sedih apabila setiap aktiviti kami lakukan bersama sebelum ini terbatas sebaik ia membesar.

“Ini kerana, ia perlu dikurung dalam sangkar atas sebab keselamatan, namun ia tidak memutuskan hubungan kami,” katanya.

Mohd Sham berkata, singa jantan dinamakan ‘Manja’ kini berusia lapan tahun haiwan jagaannya paling istimewa kerana gelagatnya amat manja, menurut kata dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.

Katanya, dia menjaga Manja sejak berusia dua minggu dan ketika itu anak singa berkenaan dilayan seperti bayi baru lahir berikutan tempoh tiga bulan pertama dianggap kritikal bagi memastikannya panjang umur kerana terdedah kepada pelbagai serangan penyakit.

“Sepanjang tempoh itu, saya berjaga malam kerana Manja bangun untuk menyusu setiap dua jam sekali.

“Sama seperti bayi baru lahir dia pasti merengek hingga heboh satu kampung jika tidak dilayan.

“Malah saya kerap disindir isteri kerana sanggup berjaga menyusukan Manja sebaliknya kerap memberi alasan apabila diminta membuat perkara sama ketika anak kami masih kecil.

“Semua itu hanya gurauan kerana dia juga berkongsi minat sama,” katanya.

Menurutnya, ketika mula menjaga anak singa, isterinya Rozimah Yusak, 53, kerap merungut kerana kerap merosakkan perabot rumah dan langsir akibat dicakar dan digigit.

Bagaimanapun, katanya, lama-kelamaan perkara itu menjadi biasa dan gelagat Manja seperti anak kucing menjadi penghibur pasangan berkenaan yang menganggap sebahagian daripada keluarga.

metro/-

Tiada ulasan: