20 Jun 2012

Belum terima RM50,000

30 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mendakwa masih belum mendapat bayaran ganti rugi walaupun sudah hampir tiga bulan kes tuntutannya terhadap kecuaian sebuah hospital sehingga isterinya meninggal dunia diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ahmad Azizi Abdullah James, 35, berkata, menerusi penyelesaian luar mahkamah dengan defendan pada 5 April lalu, dia berjaya mendapat bayaran ganti rugi sebanyak RM50,000.

“Tetapi, sehingga kini belum menerima bayaran ganti rugi itu serta tidak mendapat sebarang penjelasan memuaskan termasuk daripada peguamnya sebelum ini berhubung kelewatan itu.

“Ini bukan soal duit, tetapi ia sebagai keadilan terhadap arwah isteri yang meninggal dunia akibat kecuaian pihak hospital,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat dan peguam panel SukaGuam, Ahmad Hidayat Md Nor.

Menurutnya, isterinya meninggal dunia ketika melahirkan anak ketiga selepas mengalami pendarahan serius akibat kelewatan pihak hospital memberi rawatan pada 2006.

“Kali ini, walaupun keadilan berpihak kepada kami, namun saya masih tertanya-tanya apa yang berlaku ke atas wang ganti rugi itu,” katanya.

Sementara itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya akan meneliti aduan itu dan tidak menolak kemungkinan wujud soal teknikal dan pentadbiran sehingga mengakibatkan kelewatan pembayaran ganti rugi.

“Peguam panel kami, Ahmad Hidayat yang juga bekas Hakim Mahkamah Sesyen Teluk Intan, Perak akan meneliti perkara ini dan mengambil tindakan segera membantu pengadu,” katanya.

Mengenai kes membabitkan kecuaian pusat perubatan, Khairul Anwar berkata, berdasarkan perkembangan semasa, kesedaran orang ramai untuk mempertahankan hak mereka terhadap pusat perubatan sama ada swasta atau kerajaan sekiranya berlaku kecuaian semakin meningkat.

“Antara kes yang diterima merangkumi kecuaian ketika pembedahan, tertinggal objek dan kesilapan memberi ubat sehingga menyebabkan komplikasi teruk,” katanya.

Sehubungan itu, menurutnya, orang ramai yang mahu menyalurkan aduan boleh berbuat demikian menerusi Facebook SukaGuam.

Dalam pada itu, pihak Kementerian Kesihatan yang dihubungi memberitahu akan meneliti aduan Ahmad Azizi.

metro/-

Tiada ulasan: