30 Rejab 1433H. [MOD] -
GEORGETOWN – “Saya tidak tahu kalau buat acara suka-suka boleh kena denda,” demikian rayu seorang remaja akibat mengadakan hiburan awam tanpa lesen.
Tertuduh yang baru sahaja berusia 19 tahun tidak mengaku menganjurkan acara secara haram berkenaan.
Teong Hoe dari Lengkok Batu Maung 1 itu dalam kertas pertuduhannya didapati mengadakan hibu-ran awam tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Awam 1998.
Hoe didapati melakukan kesalahan tersebut pada 22 Mei 2011 pada jam 11.45 malam di sebuah premis di Lorong Perak.
Akibatnya, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (a) Enakmen Hiburan dan tempat-tempat Hiburan 1998 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 6 (2) enakmen yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dia bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan. Timbalan Pendakwa Raya menawarkan wang jaminan sebanyak RM6,000.
Peguam yang mewakilinya meminta supaya jumlah jaminan dikurangkan berikutan tertuduh melakukan kesalahan tersebut pada usia 18 tahun.
Peguamnya juga memaklumkan usia tertuduh pada masa kejadian masih muda dan mahkamah perlu memikirkan kesan hukuman terhadap tertuduh.
Majistret Noor Aini Yusof kemudiannya membebaskan tertuduh dengan wang ikat jamin sebanyak RM2,500.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan