20 Jun 2012

Samun ketika tonton Euro 2012

30 Rejab 1433H. [MOD] -

MENTAKAB – Sekumpulan enam sahabat yang sedang leka menonton siaran langsung bola sepak Euro 2012 di sebuah rumah di jalan Ponniah, di sini, disamun tiga lelaki warga tempatan bersenjatakan parang dan kayu, awal pagi kelmarin.

Lebih RM1,000 dan sebuah telefon bimbit dilarikan penjenayah dalam kejadian itu berikutan mereka tidak sempat melawan akibat ketakutan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, ketiga-tiga penjenayah bersenjatakan sebilah parang dan dua kayu tersebut bertindak menyerbu masuk ke dalam rumah ketika enam sahabat terbabit sedang leka menonton televisyen.

Menurutnya, seorang daripada mangsa luka di kepala akibat ditetak suspek, manakala mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan di tangan dan bahu.

“Semua mangsa yang ketakutan terpaksa menyerahkan dompet masing-masing selepas melihat rakan mereka berlumuran darah akibat ditetak menggunakan parang,” katanya.

Zundin berkata, berdasarkan lakaran wajah, semua suspek yang melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta dipercayai melakukan samun bersenjata di Raub dan Lanchang pada hari sama selepas kejadian di Mentakab.

Menurutnya, polis kini mengedar lakaran wajah suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan serta bersenjata.

Katanya, polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tiga penjenayah terbabit melaporkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran.

Sinar Harian

Tiada ulasan: