20 Jun 2012

Haram jadah: Adakah PM akan mohon maaf?

30 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada akan memohon maaf dan menarik balik kata-kata kasar 'haram jadah' yang dihamburkannya dalam ucapan beliau di Felda Jengka 8, Jerantut pada 8 Mei lalu.

Demikian soalan bagi jawab lisan yang dikemukakan oleh Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Lain-lain pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli parlimen PAS pada persidangan Dewan Rakyat hari ini adalah sebagaimana di bawah.

Nasharudin Mat Isa [ Bachok ] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan apakah sikap Kerajaan dalam menjalin hubungan dengan Negara-negara Timur Tengah yang baru membentuk Kerajaan selepas “Arab Spring” yang berlaku dalam tempoh setahun yang lepas.

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [ Kota Bharu ] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan kedudukan Malaysia di pasaran sawit antarabangsa sepanjang tahun 2012 serta tindakan-tindakan yang telah dan akan diambil untuk menstabilkan harga sawit negara.

Che Uda Che Nik [ Sik ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan Kementerian mengambil masa terlalu lama untuk menarik balik PPSMI, keadaan ini membayangkan ketidaksungguhan Kementerian untuk menarik balik program ini, dan dalam masa yang sama Kementerian telah tidak lagi memberi peruntukan untuk memastikan program ini dapat dilaksana secara sempurna. Apakah pendirian Kementerian dalam soal ini.

Mohd. Nasir Zakaria [ Padang Terap ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan perkembangan terkini Projek Rancangan Pengairan Bukit Sena Padang Terap. Sila nyatakan kos terkini serta masalah yang berlaku ketika ini dan cadangan penyelesaian segera.

Datuk Mahfuz Omar [ Pokok Sena ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan jumlah rakyat Malaysia yang lahir di luar negara sejak tahun 1957 hingga 1990, serta nyatakan negara mereka dilahirkan.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [ Rantau Panjang ] minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan apakah Kerajaan bercadang mengkaji balik pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan pendekatan yang lebih bersepadu di peringkat sekolah lagi.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [ Kuala Krai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sama ada YAB. Perdana Menteri akan memohon maaf dan menarik balik kata-kata kasar 'haram jadah' yang dihamburkannya dalam ucapan beliau di Felda Jengka 8, Jerantut pada 8 Mei lalu.

Mohd Firdaus Jaafar [ Jerai ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah langkah-langkah Kerajaan untuk menyelesaikan masalah pendatang haram dan pemberian kad pengenalan palsu yang berlaku di seluruh negara seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Mohd. Abdul Wahid Endut [ Kuala Terengganu ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan semua terma-terma penyelesaian yang dipersetujui antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan Kerajaan Pusat dan Petronas apabila saman tuntutan royalti petroleum terhadap Petronas dan Kerajaan Malaysia ditarik balik oleh Kerajaan Terengganu baru-baru ini.

Datuk Kamarudin Jaffar [ Tumpat ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Kerajaan bercadang menaikkan taraf perkhidmatan kereta api ke Pantai Timur Semenanjung dan membuka laluan-laluan baru kereta api termasuk di Sabah dan Sarawak.

Datuk Taib Azamudden Md Taib [ Baling ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan tindakan ke atas media cetak dan elektronik yang memaparkan aksi-aksi mengghairahkan dan berbaur lucah untuk tatapan umum.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Fatwa tentang perhimpunan Bersih 3.0 dibuat secara rasmi dan telah digazetkan.

Salahuddin Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan syarikat manakah di bawah Khazanah Nasional Berhad yang akan dijual kepada Bumiputera, apakah proses dan tatacara dalam proses penjualan dan pembelian itu, dari mana sumber kewangan untuk aktiviti penjualan dan pembelian tersebut.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah faktor-faktor utama yang menyebabkan Kerajaan menarik balik pelaksanaan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) baru-baru ini.

Datuk Dr. Mohd Hayati Othman [ Pendang ] minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan kadar cukup tenaga elektrik dalam negara untuk 5 tahun akan datang dan dari sumber mana serta peratusan dari sumber tenaga boleh baharu.

Harakah Daily

Tiada ulasan: