30 Rejab 1433H. [MOD] -
SUNGAI NIBONG – Saban bulan penduduk terpaksa menghidu bau terlalu busuk dari sebuah tandas ‘misteri’ terletak di bawah flat mereka.
Namun setelah ditanya siapa empunya tandas berkenaan, semuanya menggeleng kepala tanda tidak bertanggungjawab.
Demikianlah situasi berlaku membabitkan hampir 300 penduduk di Pangsapuri Nibong Indah di sini.
Penduduk, Jamilah Mohd Nagor Gani, 35, berkata, rumahnya terletak di tingkat satu pangsapuri itu dan berada tepat di sebelah atas tandas berkenaan.
Menurutnya, dalam masa sebulan pasti ada bau begitu busuk kerana kumbahan yang tidak diselenggara baik.
“Baunya hanya Tuhan yang tahu. Bayangkan penutup lubang kumbahan pula terbuka dan simennya sudah pecah, bertambah teruk keadaan kami masa itu.
“Makan nasi pun tak selera, bau najis lebih kuat daripada bau makanan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Haslina Hassan, 24, berkata, ibu bapanya sudah meletakkan pelbagai jenis pewangi semata-mata mahu menghilangkan bau ‘wap’ busuk dari tandas itu.
“Emak saya dalam masa sebulan berhabis RM100 untuk beli pelbagai pewangi rumah apabila timbulnya bau itu.
“Hendak marah pun tak tahu pada siapa kerana semua tak mengaku tandas yang satu itu siapa punya. Kalau tiada orang kenapa digunakan dan boleh berbau begitu teruk sehingga tidak selesa duduk di rumah sendiri,” katanya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Nibong Indah, Mohd Nazri Idris berkata, dia sudah beberapa kali bertemu dengan penjaja dan pemilik premis berhampiran.
Menurutnya, ia kerana tandas tersebut terletak antara dua premis di situ, namun kedua-dua tauke tidak mengaku membina tandas tersebut.
“Jika kedua-duanya sudah tidak mengaku mereka yang empunya tandas itu, jadi saya meminta kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk merobohkan saja tandas ini.
“Buat apa tandas ini dibiarkan sahaja sehingga menyusahkan penduduk. Kami semua menanggung baunya setiap hari kerana kedudukan rumah yang terletak bersebelahan dengan tandas misteri berkenaan,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan