20 Jun 2012

Bekas Presiden Mesir Mubarak 'kritikal dan koma'

30 Rejab 1433H. [MOD] -

KAHERAH - Laporan-laporan yang bercanggah tersebar luas mengatakan bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak, yang berusia 84 tahun, secara "klinikal telah meninggal dunia."

Perkembangan ini muncul kira-kira dua minggu selepas mahkamah khas menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas beliau.

Agensi berita Middle East News Agency, yang dipetik CNN menyebut bahawa Hosni telah diisytiharkan secara klinikal meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sebuah hospital tentera di sini lewat semalam.

Hosni dibawa ke hospital itu selepas mengalami strok dan "jantung terhenti" daripada berfungsi.

Jeneral Mamdouh Shaheen, seorang anggota Majlis Agung Angkatan Tentera dipetik CNN berkata, "beliau tidak meninggal dunia secara klinikal sebagaimana dilaporkan."

"Bagaimanapun keadaan kesihatan beliau susut dan berada dalam keadaan yang kritikal," katanya lagi.

Mamdouh berkata, Hosni dibawa dengan helikopter ke hospital tentera di Maadi, yang terletak di pinggir ibu negara Mesir.

"Beliau berhadapan dengan serangan jantung dan jantungnya berhenti daripada berfungsi dan beliau diselamatkan dengan diberi kejutan elektrik dan diletakkan (dalam perhatian) dengan alat pernafasan," katanya lagi.

Malah menurut laporan CNN itu, selain mengalami keadaan darah beku dan paras denyutan nadi kini hanya 40.

"Beliau bukan telah meninggal dunia secara klinikal sebagaimana dilaporkan tetapi kritikal," katanya lagi.

Peguam Hosni, Fareed El Deeb pula berkata, "beliau koma sejak beberapa jam (sehingga sekarang)."

"Tekanan darah kini sudah menurun, yang menyekat beliau daripada bernafas, menyebabkan doktor memberi alat pernafasan," kata beliau lagi.

Awal semalam, jurucakap rasmi bagi pendakwa raya Mesir, Adel Saeed berkata, "kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa penjara bahawa jantung Hosni sudah terhenti dan mereka menggunakan kejutan elektrik dan CPR untuk menyelamatkan beliau."

Nile TV melaporkan bahawa Hosni, yang dibawa ke hospital tentera di Maadi dari Penjara Tora, mengalami strok.

Sinar Harian

Tiada ulasan: