30 Rejab 1433H. [MOD] -
VICENTE del Bosque mengakui Sepanyol bermain di bawah keupayaan sebenar ketika mengatasi Croatia 1-0, pada perlawanan terakhir Kumpulan C, di Stadium Arena, Gdansk, awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, La Roja terpaksa menanti sehingga minit ke-88 untuk memecah kebuntuan menerusi pemain gantian, Jesus Navas yang dimasukkan menggantikan Fernando Torres pada pertengahan babak kedua.
Kemenangan itu sekali gus meletakkan Sepanyol sebagai juara Kumpulan C dan bakal bertemu naib juara Kumpulan D di pusingan suku akhir nanti.
Meskipun menguasai sebahagian besar perlawanan, del Bosque berkata, Sepanyol mempamerkan corak permainan cacamarba, selain gagal meneruskan momentum sama ketika membelasah Republik Ireland 4-0, baru-baru ini.
"Saya akui perlawanan sebentar tadi (semalam) bukanlah aksi terbaik kami.Segala-galanya tanpa mengikut rancangan asal.
"Jentera serangan tumpul dan situasi ini sedikit membimbangkan," katanya. Apa pun, del Bosque tetap berpuas hati apabila pasukannya meneruskan cabaran ke suku akhir.
"Yang penting kami layak ke suku akhir. Saya fikir pemain lebih bermotivasi selepas kejayaan ini dan diharap mereka mampu bermain lebih baik di perlawanan kalah mati nanti," katanya.
Sementara itu, pencetus gol Sepanyol, Andres Iniesta berkata, La Roja perlu meningkatkan permainan mereka andai mahu mempertahankan trofi yang dimenangi empat tahun lalu.
"Saingan di suku akhir nanti lebih sukar dan mencabar. Jadi kami harus fokus dan tidak terlalu yakin bagi memastikan trofi kejuaraan tidak terlepas ke pasukan lain," katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan